Introvert VS ekstrovert : mana satukah yang lebih baik?
Apabila hujung minggu menjelma, apakah aktiviti yang ideal untuk anda?
Adakah anda suka keluar gathering bersama sekumpulan besar rakan-rakan, menghadiri konsert atau pergi ke parti? Ataupun anda seorang yang lebih suka duduk di rumah membaca buku atau sekadar keluar bersarapan bersama seorang teman akrab?
Pakar psikologi menggunakan respon kepada soalan seperti ini untuk mengenal pasti tahap introversi atau ekstroversi seseorang. Ciri peribadi seorang individu berkait rapat dengan pilihan keutamaan bagaimana dia berinteraksi dengan orang lain dan memberi impak kepada kesihatan diri.
Model Personaliti Lima Faktor
Introversi dan ekstroversi telah menjadi subjek teori psikologi selama berpuluh dekad lamanya. Hari ini, ahli psikologi yang mengkaji personaliti sering melihat introversi dan ekstroversi sebagai model personaliti lima faktor.
Teori ini menyatakan keperibadian seseorang boleh dijelaskan berdasarkan tahap lima ciri personaliti iaitu:
- ekstroversi (lawan kepada introversi)
- kebersetujuan (altruisme dan mengambil berat terhadap orang lain)
- keberhemahan (bagaimana seseorang itu hidup teratur dan bertanggungjawab)
- neurotisisme (tahap seseorang mengalami emosi negatif)
- keterbukaan (termasuklah imaginasi dan sifat ingin tahu)
Teori ini merangkumi nilai personaliti dalam satu spektrum, misalnya anda mungkin seorang yang lebih ekstrovert, lebih introvert atau berada di tengah-tengah.
Pakar psikologi yang menggunakan lima model ini melihat keperibadian seorang ekstrovert mempunyai komponen yang pelbagai. Orang yang ekstrovert lebih cenderung menjadi sosial, lebih banyak bercakap, bersikap tegas, suka mencari sesuatu yang mengujakan dan lebih banyak mengalami emosi positif.
Manakala orang yang introvert pula lebih bersifat pendiam dan banyak menyendiri ketika interaksi sosial. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sifat pemalu dan anti sosial tidak sama dengan keperibadian introvert. Menurut Susan Cain, seorang penulis yang juga merupakan seorang introvert, beliau hanya berbeza dari segi sosial. Orang yang introvert juga tidak boleh hidup tanpa keluarga dan rakan-rakan, namun mereka juga inginkan masa bersendiri.
Empat jenis introvert
Pada tahun 2011, ahli-ahli psikologi di Wellesley College berpendapat bahawa introvert mempunyai beberapa jenis yang berlainan. Disebabkan introversi dan ekstroversi meliputi kategori yang luas, maka tidak bermakna setiap orang yang introvert dan ekstrovert itu sama.
Menurut kumpulan penyelidik itu, introversi boleh dibahagikan kepada empat kategori:
- introversi sosial (gemar bersendiri atau dalam kumpulan kecil)
- introversi fikiran (suka mengkaji diri dan berfikir)
- introversi keresahan (malu dan sensitif dalam situasi sosial)
- introversi tersekat/terhalang (tidak mencari perkara mengujakan dan sukakan aktiviti yang lebih menenangkan)
Introvert VS ekstrovert : mana satu lebih baik?
Pakar psikologi berpendapat ekstroversi berkorelasi dengan emosi positif. Ini bermakna orang yang ekstrovert cenderung untuk menjadi lebih gembira daripada orang yang introvert. Namun demikian, mereka juga menemui bukti bahawa "introvert gembira" itu juga wujud. Dalam kajian yang mengkaji peserta gembira, satu pertiga daripada responden adalah introvert.
Menurut Susan Cain, masyarakat hari ini lebih gemar memandang positif kepada orang yang ekstrovert. Dalam kelas atau di pejabat misalnya, aktiviti yang datang secara semula jadi bagi ekstrovert seperti kerja berkumpulan amat digalakkan sehingga kerap kali menenggelamkan potensi orang introvert.
Cain juga menjelaskan yang orang introvert juga mempunyai beberapa kelebihan seperti berfikiran kreatif. Selain itu, seorang introvert juga boleh menjadi bos yang baik di tempat kerja kerana mereka akan memberi ruang dan kebebasan kepada kakitangan untuk menyempurnakan sesuatu projek di samping lebih fokus kepada pencapaian matlamat organisasi berbanding kejayaan diri sendiri.
Kesimpulannya, walaupun sifat ekstrovert lebih dihargai dalam masyarakat, menjadi introvert juga ada kebaikan tersendiri. Jadi, tidak ada isu mana satukah yang lebih baik. Allah telah menjadikan setiap makhluk-Nya unik dan ada kelebihan masing-masing. Apa yang lebih penting adalah seseorang itu memahami keperibadian sendiri supaya dapat berinteraksi dan bekerja bersama orang lain dengan lebih efektif.
Rujukan:
1. University of Colorado
2. Texas University
3. Scientific American
4. Science Direct
✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2GaEIwE
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment