JPA EDAR PEKELILING PENAMBAHBAIKAN 252 SKIM PERKHIDMATAN AWAM 14 APRIL 2016
Pekeliling penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam! Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengedarkan pekeliling penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia bermula pada 14 April 2016 ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata langkah rasionalisasi skim perkhidmatan itu adalah bersifat menyeluruh yang diharap akan disambut baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam.
“Pekeliling mengenai penambahbaikan skim ini akan didedahkan kepada orang ramai dan dimuat naik ke laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pada 14 April ini,” katanya.
Beliau berkata penambahbaikan skim itu merupakan usaha baik kerajaan dalam meningkatkan mutu sektor awam yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Mohamad Zabidi berkata peranan perkhidmatan awam dan sumbangan penjawat awam merupakan satu daripada penentu kejayaan agenda besar negara.
“Walaupun tuntutan global dan persekitaran pada masa dahulu dan kini mungkin telah berbeza, namun begitu, akar tanggungjawab perkhidmatan awam tetap tidak berganjak iaitu sebagai pemelihara kepentingan rakyat,” katanya.

“Era kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu, memasuki era yang meraikan pertembungan idea ini, memerlukan penjawat awam bergerak dalam trajektori yang tidak pernah dilalui oleh mereka sebelumnya,” katanya dipetik laporan berita RTM.
Post a Comment