Polis sahkan gambar di FB mangsa culik di Semporna
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan gambar dimuat naik dalam satu akaun Facebook adalah empat rakyat Malaysia yang diculik lelaki bersenjata berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada 1 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sedia maklum mengenai akaun Facebook dengan nama ‘Victor Troy Poz’ itu.
“Saya sedia maklum mengenai akaun terbabit dan polis sedang giat menjalankan siasatan.
“Pihak polis turut sedang mengesan sekiranya akaun Facebook itu telah dibuat di dalam negara ataupun di luar negara,” katanya yang dipetik dari Bernama.
Gambar berkenaan memaparkan keempat-empat mangsa berada dalam keadaan mencangkung sambil memegang sekeping kertas bertulis ‘Victor Troy’ berserta tarikh 8 April.
Gambar tersebut telah dimuat naik ke dalam akaun terbabit pada Ahad lepas.
Semalam, Khalid mengesahkan empat mangsa rakyat Malaysia yang diculik iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, masih hidup.
Mereka antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia, apabila diculik.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1NccTml
Post a Comment