Bunyi ETS jadi igauan ngeri Saripah
JITRA: Bunyi kereta api Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang lalu di tepi rumah, menjadi igauan ngeri buat Saripah Kassim yang kematian anak lelakinya kelmarin akibat digilis kereta api tersebut.
Manakan tidak, jarak rumahnya dengan landasan tren tersebut, hanyalah 50 meter, dan beliau sekeluarga boleh mendengar dengan jelas bunyi tren yang lalu dalam tiga hingga empat kali sehari.
Sebulan sebelum pemergian anak itu, arwah dikatakan ada membuat catatan di laman sosial Facebook miliknya mengenai tanda 100 hari sebelum kematian.
Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Megat Dewa, Kodiang semalam, Saripah, 54, baru saja kembali dari menguruskan pengebumian anaknya, Mohd Afendy Yaziz, 20.
Semalam, Afendy, anak keenam dari sembilan beradik dikatakan baru selesai solat asar dan hendak melintas laluan tren tersebut, untuk membeli roti di seberang jalan.
Dalam kejadian 4.40 petang di Kilometer 114, laluan Kodiang-Anak Bukit itu, Afendy bagaimanapun tidak sempat mengelak tren ETS dari arah Padang Besar ke KL Sentral tersebut, menyebabkan dia dilanggar dan cebisan mayatnya diseret sehingga satu kilometer.
Saripah berkata ketika kejadian, beliau berada di Padang Sera kerana ada urusan, dan arwah ketika itu berada bersama seorang lagi anaknya, Nurjannah, 15, dan nenek mereka.
“Ketika kejadian itu, tok dia terus la kelam kabut pergi tengok dan panggil Nurjannah tengok. Lepas itu memang panik tak tau nak buat apa dan telefon anak lagi satu yang duduk Alor Setar,” katanya.
Kakak kepada Afendy, Hajar, 27, berkata apa yang lebih menyayat hati mereka sekeluarga ialah tanggapan netizen di media sosial yang mengatakan adiknya membunuh diri, sakit mental, serta mempunyai masalah sosial.
Sebagai kakak yang paling rapat dengan arwah, beliau berkata, Afendy merupakan seorang anak yang sangat taat pada agama, dan tidak pernah melawan atau meninggikan suara kepada mereka sekeluarga.
“Dia seorang yang sangat lembut hati dan manja. Dia kerap melawat saya di Sungai Petani, malah ketika pantang dia turut menjaga saya. Dia tidak akan keluar rumah malam-malam, suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga.
“Bayangkan, anak-anak muda sebaya dia, ada tidak nak buat macam dia. Saya sangat sedih melihat komen netizen di laman sosial Facebook cakap adik saya macam-macam sedangkan kami tahu dia macam mana,” katanya dan meminta semua berhenti menyebarkan gambar arwah adiknya.
Setelah habis tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa, arwah katanya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah pondok di Perlis, namun berhenti setelah setahun dan bercadang untuk mengaji di sebuah pondok di Kedah.
Sebulan sebelum pemergian arwah katanya, arwah turut membuat satu catatan di laman sosial Facebook miliknya mengenai tanda 100 hari sebelum kematian.
Arwah juga sering meminta ibu memasak pelbagai makanan, kata Hajar.
– BERNAMA
Lompat pagar landasan, pemuda maut dilanggar tren ETS
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1TTMiar
Post a Comment