Hari Guru, antara keikhlasan dan harapkan balasan
Semalam. 16 Mei. Hari Guru.
Hari Guru kembali lagi dan ia kini menjadi pesta masyarakat di negara ini, bukan saja di kalangan anak-anak kita tetapi juga ibu bapa sebagai tanda mengucapkan rasa terima kasih kepada individu yang bertanggungjawab mengajar ilmu formal kepada kita semua.
Secara kebetulan hujung minggu lalu saya ke kedai cenderamata berhampiran kawasan rumah. Penuh sesak kedai itu dengan ibu bapa bersama anak masing-masing. Sibuk memilih hadiah untuk guru. Kedai itu juga menyediakan bahagian khas hadiah untuk guru. Ada kad, ada juga cawan tercetak ucapan ‘Selamat Hari Guru’.
Saya lihat seorang emak mengangkut sebakul besar pelbagai cenderamata dipilih untuk dijadikan hadiah guru. Katanya, anak pilih sendiri hadiah untuk guru sekolah kebangsaan, menengah, malah untuk guru sekolah agama pun ada. Diangkat diletakkan atas tempat juruwang. Berkeping-keping juga wang bertukar tangan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia sudah jadi satu budaya. Murid beri hadiah pada Hari Guru seolah-olah kini jadi satu kemestian. Bukan lagi trend, tapi sudah jadi wajib dan menjadi kewajipan kepada ibu bapa menyediakannnya.
Hari Guru ialah hari kita menzahirkan apresiasi atas sumbangan tulus murni dan khidmat bakti dicurahkan pendidik kepada masyarakat seluruh negara. Itu kata pembuka ucapan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sempena sambutan semalam.
Maka, tepatlah juga keadaannya jika hadiah bertukar tangan antara murid dan pendidik pada hari itu.
Cuma, saya ingin membawa perspektif berbeza dalam melihat cara sambutan Hari Guru yang saban tahun kita raikan.
Zaman terkini, tidak ada lagi hadiah untuk guru hanya sebatang pen. Malu anak kita kalau dia bagi hadiah pen saja pada guru.
Bila Hari Guru tiba, penuh Facebook saya dengan gambar rakan-rakan yang kini bergelar guru bergambar di samping lambakan hadiah diterima daripada murid. Senyuman bangga terukir. Saya tumpang bangga dan jujurnya, ada sedikit cemburu. Rugi tak jadi cikgu dulu, kalau tak mesti setiap tahun dapat hadiah berlambak.
Tahun ini, seorang kawan beritahu, ada murid di sekolah anaknya kumpul duit beramai-ramai sesama rakan, belikan guru beg berjenama antarabangsa yang harganya ratusan atau boleh jadi juga cecah ribuan ringgit. Hebat.
Itu kisah guru di sekolah ternama yang menempatkan murid-murid bijak, anak orang ada-ada di mana ibu bapa tidak lokek beri duit untuk bagi cikgu hadiah. Di sekolah seperti ini juga, sedar atau tidak, ibu bapa berlumba-lumba hendak beri yang terbaik supaya anak dapat jadi perhatian guru.
Namun, guru yang mengajar di sekolah sederhana, di kampung atau di kawasan pedalaman dan luar bandar tidak merasa kemewahan terima hadiah pada Hari Guru. Dapat sabun mandi atau kotak tisu pun sudah boleh dianggap mewah.
Rakan saya beritahu dia tempah hadiah khas untuk guru anaknya sejak awal tahun. Tahun ini ditempahnya magnet peti sejuk tertera ucapan untuk guru dilengkapi nama anaknya. Begitu sekali seorang emak menjaga hati guru yang mendidik anaknya.
Seorang lagi rakan saya, dia pendidik. Garang orangnya. Dia awal-awal lagi buat pengumuman dalam kelas, jangan beri dia hadiah, terutama sekali hadiah yang mahal-mahal. Tidak mahu nanti bila diberi hadiah, dia rasa bersalah untuk marah pelajar, katanya.
Dia beritahu hadiah paling ditunggu-tunggu ialah bila pelajar tamat belajar, mereka hantar Whatsapp beritahu dapat kerja yang elok, sentiasa ingat pesanan cikgu dan ucap terima kasih. Itu yang dia tunggu, hadiah dalam bentuk itu.
Seorang lagi kawan saya, juga pendidik. Guru di sekolah menengah biasa. Dia suka sekolah tempat dia mengajar. Katanya, sekolah biasa yang sederhana. Hadiah paling best dia terima pada Hari Guru ialah nasi dan asam pedas kegemarannya, selain seutas jam tangan. Itu pun, katanya, dia rasa kasihan pada pelajar yang beri, kerana bersusah-susah membelikan hadiah. Apatah lagi, pelajarnya bukan anak orang senang.
Cuba kita lihat begini, mungkin dalam kemeriahan guru terima hadiah hebat-hebat itu, ada murid yang ambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan. Mungkin kerana malu dia tidak ada apa-apa untuk dihadiahkan, barangkali tidak mampu, tidak ada duit. Yang dia mampu hanya beri ucapan dan doa.
Satu lagi situasi. Mungkin dalam cuba memenuhi permintaan anak yang mahu rasa seronok bila cikgu gembira terima hadiah daripadanya, ada ibu bapa berpuasa kerana terpaksa korbankan duit makan tengah hari di pejabat demi membelikan sesuatu untuk guru anaknya. Siapa yang tahu kan?
Bukanlah saya kata guru tidak patut dapat hadiah. Memang patut pun dan mereka berhak diberi penghargaan sedemikian.
Tetapi mungkin perlu ada hadnya. Had daripada segi harga atau jenis barang. Supaya jangan sampai ia dilihat seperti sesuatu yang melampau.
Saya kenang jasa guru-guru saya dan guru anak saya. Tapi, saya rasa budaya berhabis duit beli hadiah sempena Hari Guru perlu dihentikan.
Saya faham beri hadiah adalah hak ibu bapa dan murid berkenaan sebagai tanda terima kasih tidak terhingga kepada guru yang mendidik. Duit masing-masing, suka hati masing-masinglah.
Bukan juga salah guru sehinggakan budaya ini terdidik dalam masyarakat kita sekarang. Guru hanya menjalankan tugas dan kemudian diberikan pula penghargaan. Di mata kasarnya, ia hanya satu proses timbal balik.
Sememangnya tanpa guru, siapalah kita. Sebesar mana pangkat kita, apa yang kita ada, guru yang terlebih dulu beri. Jadi, logik juga jika kita tak berkira, sedia berhabis untuk membalas jasa guru dalam bentuk material.
Tapi, logik juga jika kita melihat ia dari sisi yang berbeza, iaitu keikhlasan guru mencurahkan ilmu ke dada murid tidak sepatutnya dinilai dengan balasan dan material.
Walau apa pun, tiada kuasa dalam tangan saya. Saya tidak akan mampu mengubah budaya itu. Saya juga terpaksa mengaku kalah bila anak sendiri teresap dalam budaya itu. Kalau hendak mengubahnya, kita kena ubah sama-sama. Kita sebagai ibu bapa, dan anda sebagai guru.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1XvHz4F
Post a Comment