Deklarasi Rakyat hanya akan memecahbelahkan Pakatan Harapan
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan menolak Deklarasi Rakyat kerana berpendapat ia dibuat “sekelompok kecil orang dan secara rahsia” tanpa dibincangkan bersama rakyat.
“Selepas tandatangan barulah dibawa kepada rakyat. Ini pendekatan ‘atas ke bawah’. Ini deklarasi elit, bukan Deklarasi Rakyat,” katanya dalam Forum ‘Deklarasi: Mana Pergi Rakyat’ semalam.
Tambahnya, Deklarasi Rakyat yang kononnya mahu menyatukan pihak menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya hanya akan memecahbelahkan Pakatan Harapan.
“Kehadiran Mahathir telah memecahkan kita. PKR dan DAP pecah dua, masyarakat sivil berpecah lagi banyak,” katanya sambil menyifatkan usaha itu dibuat secara tergesa-gesa dan melibatkan golongan kecil tokoh sahaja.
Turut mengakui usaha itu dibuat secara tergesa-gesa, bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga berkata, Deklarasi Rakyat hanyalah usaha sementara bagi menumbangkan ‘musuh bersama’ iaitu Najib.
“Saya tak kata (Deklarasi Rakyat) sempurna, tetapi kita lakukan sesuatu ketika negara dalam krisis. Kalau tidak setuju, apakah rancangan anda untuk selamatkan negara?” soalnya.
Beliau turut menafikan hujah Arutcelvan kononnya Deklarasi Rakyat sebenarnya adalah deklarasi elit.
“Arul kata ini bukan Deklarasi Rakyat. Maaf, 1.27 juta rakyat tidak setuju dengan anda,” katanya.
Menurutnya, kerjasama dengan tokoh-tokoh UMNO seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi inisiatif itu telah membuka jalan untuk mendekati khalayak baru yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Untuk kali pertama kita berjaya mendekati mereka (ahli akar umbi UMNO) yang gagal didekati sebelum ini. Walaupun mereka menyokong UMNO, mereka kini sedia berbincang tentang isu reformasi. Bagi saya inilah pencapaian yang paling bermakna,” ujarnya lagi.
Forum ‘Deklarasi: Mana Pergi Rakyat’ itu hangat dengan hujah barisan ahli panel serta sorakan hadirin sehingga menyebabkan penganjur terpaksa mencelah untuk meminta semua yang hadir supaya bertenang.
Forum lebih dua jam itu mencapai kemuncaknya apabila ahli panel, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard membacakan pesanan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam suratnya yang didedahkan sebelum ini.
“Setiap perjuangan selalu melahirkan sejumlah pengkhianat dan para penjilat. Jangan kau gusar saudaraku. Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang. Jangan kau kecewa saudaraku.
“Fokus kita untuk tumbangkan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya yang lantas disambut laungan ‘Reformasi’ daripada hadirin yang menentang kempen Deklarasi Rakyat.
Laungan tersebut berterusan untuk beberapa ketika sehingga menenggelamkan penjelasan seorang lagi ahli panel merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menegaskan Deklarasi Rakyat tidak akan menghalang usaha menewaskan pemerintah.
Forum itu menampilkan Khalid bersama Ambiga dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sebagai penyokong Deklarasi Rakyat, manakala Chegubard bersama Arutchelvan dan peguam, Haris Ibrahim sebagai penentang.
Bagi Haris, beliau menentang deklarasi tersebut bukan disebabkan tidak setuju dengan isi kandungannya, tetapi kerana khuatir dengan agenda di sebaliknya yang disifatkan hanya untuk menyelamatkan UMNO dan BN.
“Saya tidak percaya usaha yang dipimpin Mahathir dan lihat ia tidak akan dapat mencapai reformasi yang diingini rakyat…Yang perlu digulingkan adalah UMNO-BN (bukan hanya Najib). Selagi ia tidak berlaku, jangan harap reformasi akan berlaku,” katanya.
Khalid pula mengecam hujah pihak penentang yang dikatakan ‘mengungkit hal yang telah berlalu’ sehingga menghalang sebarang kerjasama dengan pihak lain.
“Memang dia (Mahathir) ada agenda, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh atasinya (dengan agenda kita). Saya bimbang dengan tanggapan sebegini,” katanya lagi.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1OyDydF
Post a Comment