Usaha mencari warga emas hilang di kebun diteruskan
SIBU: Usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang ketika memberi makan ternakannya di kebun tidak jauh dari Rumah Ingkok, Sungai Durin Kanan di sini tiga hari lalu masih dipergiatkan.
Kehilangan mangsa dikenali Marong Igoh, 71, disedari oleh ahli-ahli keluarga apabila beliau gagal pulang ke rumah sehingga jam 5.45 petang pada 30 April lalu.
Menurut laporan, mangsa merupakan bekas polis sempadan (border scout) dipercayai keluar dari kediamannya di Rumah Inggok lebih kurang jam 9.30 pagi.
Isteri mangsa bimbang keselamatan suaminya bertindak memaklumkan salah seorang anaknya yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sibu Jaya.
Menurut anak mangsa, ayahnya pergi ke kebun untuk memberi makan kepada ternakannya yang terletak lebih kurang dua kilometer dari rumah panjang mereka.
“Setiap hari ayah saya keluar memberi makan ternakannya di kebun. Sebelum ini, beliau pernah tersesat jalan pulang sehingga ditemui penduduk rumah panjang di Pekan Durin,” kata anaknya.
Menurut polis, operasi dilakukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk rumah panjang sejurus laporan diterima.
Sebuah pondok gerakan SAR turut didirikan di depan Rumah Ingkok dan sehingga kini operasi mencari tertumpu kawasan hutan berhampiran di Durin Kanan.
Orang ramai mempunyai maklumat mangsa berada diminta menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi Sarjan Firdaus di talian 084-236346.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1SKdBYv
Post a Comment