Kenyataan Nizar bersifat peribadi, bukan suara AMANAH
PETALING JAYA: Kenyataan Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa Allah memilih supaya PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan untuk ‘mengajar’ perdana menteri dan timbalannya kerana peranan mereka dalam krisis Perak pada 2009, bersifat peribadi dan tidak mewakili parti AMANAH.
Setiausaha Agung AMANAH Anuar Tahir berkata bekas menteri besar Perak itu mungkin ada niat tersendiri ketika membuat kenyataan berkenaan.
“Saya lihat itu kenyataan peribadi beliau, malah saya rasa kita tidak boleh kata tindakan dia itu angkuh atau sombong, ia cuma bergantung kepada tafsiran orang.
“Cuma pengucapan dia (Nizar) itu mungkin ada orang tidak bersetuju, memang kadang-kadang kita bercakap mulut terlepas cakap .Bagi saya isu itu tidak perlu diperbesarkan,” katanya.
Isnin lalu, ketika berucap pada sesi ceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar Nizar berkata PRK Kuala Kangsar adalah untuk ‘mengajar’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas peranan mereka dalam krisis Perak pada 2009.
Beliau berkata ia ada kaitan antara krisis Perak pada 2009 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan PRK tersebut, yang secara kebetulan, kedua-duanya berlaku di Kuala Kangsar.
Kenyataan Nizar itu dikecam pemimpin BN dengan menyifatkan ia sebagai biadab.
Sementara itu, Anuar berkata beliau yakin kenyataan Nizar yang hangat dimainkan pemimpin BN tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada AMANAH dalam PRK nanti.
“Ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada AMANAH, saya tak fikir dengan satu dua kenyataan seseorang pemimpin boleh menjejaskan fikiran rakyat menukar kepada tidak menyokong AMANAH.
“Rakyat sudah berfikir panjang dan melihat dari sudut yang lain,” katanya merujuk kepada kelemahan yang ada pada BN.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1OcKBsP
Post a Comment