Sanjeevan dakwa didera dalam tahanan
KUALA LUMPUR: Pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan mendakwa didera dalam tahanan polis dan tidak dibenarkan mendapat rawatan merawat pendarahan dalaman.
Peguamnya, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan berkata Sanjeevan dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12.30 tengahari hari ini dan kemudian ke Mahkamah Majistret Seremban.
“Semasa Mahkamah Sesyen bersidang, saya memaklumkan Hakim Fatiyah Idris bahawa Sanjeevan mengadu didera ketika dalam tahanan bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.
Gobind menambah anak guamnya digari, ditutup mata dan dipukul. Menurutnya lagi, Sanjeevan tidak diberikan ubat atau makanan. Permohonan untuk mendapatkan rawatan merawat masalah pendarahan dalaman juga tidak dipedulikan, katanya.
Peguam itu memohon mahkamah memerintahkan polis membawa Sanjeevan mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan juga membenarkan Sanjeevan membuat laporan polis berkenaan aduan itu.
“Aduan Sanjeevan ini serius kerana dia ditahan selama 21 hari melalui perintah mahkamah yang diperoleh daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 11 Julai,” kata Gobind kepada mahkamah.
“Arahan itu tidak membenarkan sebarang bentuk penderaan dikenakan keatasnya.”
Peguam itu kemudian memaklumkan hakim bahawa beliau akan membangkitkan isu itu dengan Majistret.
Selepas mendengar testimoni Sanjeevan di mahkamah, hakim membenarkan kedua permohonan itu dan mengarahkan pegawai penyiasat mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Kedua mahkamah menetapkan perkara ini didengarkan pada 1 Ogos, untuk mendengar permohonan ikat jamin kerana tempoh tahanan reman 21 hari untuk Sanjeevan luput pada 31 Julai,” kata Gobind.
Sanjeevan didakwa di Mahkamah Sesyen dibawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959 kerana mengambil seorang pendatang asing tanpa izin bekerja dengannya.
Beliau turut didakwa dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.
Sanjeevan mula ditahan pada 22 Jun selepas seorang pengusaha judi mendakwa aktivitis anti-jenayah 32 tahun itu memeras RM25,000 daripadanya.
Sejak mula ditahan, tujuh laporan polis dibuat terhadapnya atas dakwaan pemerasan.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/29ITiMN
Post a Comment