Gagal bekalkan makanan, tiga tentera senior disyaki pukul anggota junior di kem Sibu
SIBU: Gara-gara tidak membekalkan makanan kepada ketiga-tiga rakan seniornya, anggota tentera junior berusia 20 tahun dipukul di berek bujang di kem tentera.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami kecederaan limpa, namun dilaporkan stabil masa ini.
Ekoran itu, tiga anggota tentera berusia 21 hingga 31 tahun ditahan reman tiga hari disyaki melakukan penderaan hingga menyebabkan kecederaan ke atas anggota junior kira-kira 12.30 tengah hari Ahad lepas.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Kes terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada bapanya pada Isnin.
Mendengar aduan tersebut, bapa mangsa yang merupakan bekas tentera berusia 70 tahun berasal dari Rawang, Selangor bertindak membuat laporan polis.
Bekas tentera itu tiba di bandar Sibu bertujuan menziarahi anaknya. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment