Keranda terbang tanpa pengusung gemparkan penduduk
DEPOK: Minggu lepas, kisah keranda terbang di Kelurahan Sawangan Baru di Depok, Jawa Barat menghebohkan warga setempat.
Bahkan, penyebarannya di media sosial mengajak lebih ramai orang luar masuk khususnya wakil media ke daerah tersebut.
Sebelum ini dilaporkan, beberapa warga di kawasan tersebut melihat keranda melayang seperti diusung, tetapi tiada pengusungnya.
Cerita tersebut bahkan diceritakan oleh Ketua Rukun Tetangga sendiri, Edi Supini dan isterinya yang menyaksikan kejadian tersebut.
Namun, dalam seminggu terakhir ketika pihak media cuba mengintai kebenaran kisah tersebut, tiada lagi warga melaporkan melihat hal tersebut.
Datuk Bandar Depok Idris Abdul Shomad hanya tertawa ketika ditanya kisah meresahkan penduduk itu.
“(Keranda terbang) itu gosip,” katanya sambil tertawa selepas selesai menghadiri sidang di Gedung Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Depok, Khamis lepas.
Anggota DPRD Depok dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Zeni Faizah warga setempat, berharap isu tersebut tidak mengganggu aktiviti masyarakat.
“Jangan sampai isu ini dimanfaatkan oleh pihak yang tak bertanggungjawab,” tegas Zeni.
Pihak Rukun Tetangga meningkatkan kegiatan rondaan malam sambil berharap penduduk agar tidak panik.
Di penempatan yang sama, setahun yang lalu penduduk juga resah apabila dihebohkan dengan peristiwa kehilangan wang.
“Dulu pernah ada duit hilang, saya rasai sendiri. Ada duit ditemui di depan pintu. Belum setahun peristiwanya, warga resah juga, namun akhirnya hilang isunya,” kata Edi Supini.
Edi menambah, wang yang sudah disediakan pada sebelah malam, tiba-tiba kurang beberapa lembar keesokan harinya. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment