‘Rumah Buruk Inilah Tempat Saya Membesar Dahulu’
Inilah rumah tempat saya membesar di Taman Sri Muda, Shah Alam sehinggalah saya mula bekerja tahun 2008. Tiang dan pagar berwarna ungu cair itu, sayalah yang mengecatnya. Rumah ini pernah tenggelam sekali pada tahun 1995, banjir besar di Sri Muda.
Saya bukanlah orang kaya. Ayah, bekas tentera, bekerja sebagai pemandu teksi. Mak pula ambil upah jaga anak orang. Kami lima beranak menyewa di sini sehingga tahun 2009. 22 tahun, kalau ikut cerita ayah saya.
Nak tahu kenapa sampai tahun 2009? Sebab mereka tunggu saya dah kerja setahun untuk beli rumah menggunakan nama saya. Mak ayah dah berusia 50’an, mana boleh buat pinjaman bank. Tahun 2009, kami berpindah ke rumah sebelah sehinggalah sekarang. Rumah dalam gambar ini sekarang, orang lain pula yang sewa.
Masa kecil dulu, saya malu dengan kawan-kawan. Rumah mereka besar, deret rumah kami ini hanya kami sahaja yang menggunakan pagar kecil. Rumah lain, pagar besar dan boleh letak kereta di dalam. Masa raya memang saya tak ajak kawan-kawan datang. Mereka nak datang pun saya beri bermacam-macam alasan. Saya malu duduk rumah seperti ini.
Bila saya semakin dewasa, barulah saya sedar bahawa mak dan ayah dah buat yang terbaik. Itu sahaja yang mereka mampu. Sebagai anak, saya tidak sepatutnya berasa malu, sebaliknya bersyukur. Kalau sekarang anda sedang mengalami situasi saya dulu, tolonglah fahami dan beri sokongan kepada ibu bapa anda dan berazamlah untuk mengubah nasib mereka. Okay?
Kita takkan boleh mengubah kehidupan lampau atau asal usul kita. Mak dan ayah kita mungkin miskin, tetapi anda boleh mengubahnya. Mak ayah sekarang dah menghampiri usia 60’an. Mereka sudah korbankan masa muda mereka untuk saya. Sekaranglah masanya untuk saya membalas jasa-jasa mereka sementara mereka masih ada. Saya perlu membuat mereka merasa apa yang telah mereka lepaskan selama ini seperti pergi umrah, memandu kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya.
Bila tengok drama, mak ayah hero sentiasa mengharapkan anaknya akan membelikan mereka macam-macam kan? Realitinya, anak muda sekarang nak sara diri sendiri pun sesak. Kalau sudah begitu situasinya, macam mana nak beri kehidupan yang lebih baik untuk mak dan ayah?
Percayalah cakap saya, jika anda meletakkan ibu bapa anda sebagai sebab utama anda mahu berjaya, ianya akan dipermudahkan. Please, if there’s someone you need to please, it will be them. Not your friend, girlfriend, colleague, enemy or whatever.
Anda tidak boleh mengubah kehidupan lampau tetapi anda boleh merancang dan membentuk masa depan anda. Berusahalah dengan gigih sementara mereka masih ada. Kongsilah kisah ini kalau anda pernah melalui hidup seperti saya.
Sumber : Khalid Hamid
Sumber : Oh My Media TV
Post a Comment