Dua hotel bajet di Padungan disamun lelaki bersenjata parang, berseluar pendek dan berselipar awal pagi tadi
KUCHING: Bukan satu tetapi dua hotel bajet di bandar raya ini yang menjadi mangsa samun bersenjata seorang penjenayah nekad awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Abang Ahmad Abang Julai ketika mengesahkan kejadian berkata, suspek yang bersenjatakan parang menjadikan hotel bajet sebagai sasaran awal pagi yang sunyi itu.
Dalam insiden pertama, suspek yang memakai topi keledar penuh, berjaket dan berseluar pendek serta berselipar cuba untuk merompak sebuah hotel bajet di Padungan.
“Kejadian berlaku sekitar jam 2.20 pagi ketika tiga wanita yang sedang bertugas di bahagian kaunter hotel terbabit telah didatangi seorang lelaki yang bertopi keledar bertutup penuh, berseluar paras lutut dan berselipar,” kata Abang Ahmad.
“Pada awalnya suspek berkunjung ke kaunter sebelum jam dua pagi tetapi hanya untuk sebentar sahaja sebelum kembali lagi sekitar jam 2.20 pagi dan berpura-pura untuk menaftar sebagai pelanggan.
“Disebabkan suspek tidak memiliki kad pengenalan, mangsa tidak membenarkan dia menginap di situ.
Selepas itu secara tiba-tiba suspek mengeluarkan sebilah parang panjang dari dalam jaketnya lalu memanjat ke atas kaunter dan mengacu ke arah mangsa.
“Terperanjat dengan tindakan suspek itu, ketiga-tiga mangsa terbabit pantas menyelamatkan diri dengan berlari ke bahagian atas hotel dan mengetuk dua bilik yang berpenghuni di dalamnya.
Ketukan tersebut mengejutkan beberapa penghuni bilik lain hotel terbabit terkejut hingga ada yang keluar dari bilik untuk melihat punca kekecohan.
“Suspek kemudian mengejar dan mengekori mangsa hingga ke tingkat atas hotel sebelum mengambil keputusan untuk turun semula ke ruang bawah selepas mendapati terdapat ramai penghuni mula keluar membantu mangsa.
Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup, kejadian berlaku selama tiga minit dan suspek sempat melarikan satu unit komputer riba jenis Lenovo dan tiga telefon bimbit.
Kerugian dianggarkan mencecah RM1550.00.
Tidak puas hati dengan kes yang pertama, suspek mengulangi perbuatannya sekitar jam 5.00 pagi, kata Abang Ahmad.
Kali ini suspek bertindak menyerbu kaunter sebuah hotel bajet di Jalan Song Thien Chok, Kuching.
“Suspek memakai topi keledar berwarna kelabu dan memakai pakaian yang sama kali ini berjaya merompak petugas kaunter terbabit dan melarikan wang tunai RM150.00
“Bagaimanapun kesemua mangsa tidak dicederakan,” katanya lagi.
Kata Abang Ahmad, polis sedang memburu suspek dan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment