Semua Adun BN Mahu Adnan Kekal
Kesemua 29 Adun Barisan Nasional (BN) Pahang hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk terus kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri dan jentera BN negeri.
Kumpulan wakil rakyat BN, diketuai Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, khidmat Adnan yang juga Adun Pelangai, masih diperlukan untuk mengetuai jentera parti dan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Atas semangat solidariti Adun Pahang, kami berpendapat adalah amat wajar Adnan meneruskan kepimpinan kerana beliau masih lagi mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.
“Selain itu, belau juga masih mendapat mandat dan sokongan daripada semua Adun BN iaitu 27 Adun dari Umno dan dua Adun dari MCA,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini.
Sidang media itu dihadiri oleh 27 daripada 29 Adun BN. Tiga Adun BN iaitu Adun Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud dan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long tidak hadir kerana mempunyai urusan rasmi dan berada di luar negara.
Bagaimanapun, Shahiruddin berkata, ketiga-tiga Adun terlibat telahpun memberikan mandat kepadanya untuk turut menyatakan sokongan terhadap Adnan yang hampir 18 tahun menjadi menteri besar.
Katanya sepanjang kepimpinannya, Adnan telah berjaya mewujudkan suasana kerjasama erat antara wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat serta pertubuhan bukan kerajaan (NG0).
Justeru, katanya, kesemua Adun BN Pahang berasa amat selesa bekerja berpasukan di bawah kepimpinan Adnan serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, langkah Adun BN menyatakan solidariti itu adalah berikutan kenyataan yang dibuat oleh Adnan pada 9 September lepas yang menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Kita akan hantar surat sokongan yang ditandatangani oleh kesemua Adun BN ini kepada menteri besar dalam masa terdekat supaya beliau menarik balik hasratnya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap dengan kenyataan itu, beliau berharap ia akan dapat memadam semua khabar angin tentang pertukaran jawatan menteri besar.
“Kita nak tumpukan usaha dan jentera parti untuk hadapi pilihan raya,” katanya.
Adnan yang telah 30 tahun menjadi wakil rakyat bagaimanapun tidak mahu isu itu diperbesarkan dan menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2dzqJ4j
Post a Comment