Hi! Welcome Back and Stay Tune! Padah Aniaya Pengantin, Syarikat Wedding Planner Diarah Bayar Ganti Rugi RM6,052 - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Padah Aniaya Pengantin, Syarikat Wedding Planner Diarah Bayar Ganti Rugi RM6,052

Shah Alam: “Bukan hanya bekalan nasi tidak mencukupi dan lauk basi, malah kami terpaksa menggantikannya dengan masakan sendiri untuk dihidang kepada tetamu,” kata kakitangan swasta, Saiful Azhar Ramli, 25.

Semalam, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pengantin dan katering diarah oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, membayar RM6,052 kepada Saiful selepas gagal menyediakan makanan seperti dijanjikan untuk majlis perkahwinan lelaki itu, awal bulan lalu.

Presiden TTPM Wan Rufaidah Wan Omar ketika membuat keputusan itu berkata, Saiful berhak mendapat haknya semula kerana membabitkan hidangan makanan untuk tetamu.

“Sehubungan itu, pihak penentang (syarikat) diarah membayar RM6,052.50 iaitu sebahagian daripada nilai yang terpaksa ditanggung oleh penuntut.

“Ganti rugi itu perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini (semalam),” katanya.

Dalam pada itu, Saiful berkata, syarikat berkenaan sepatutnya menyediakan makanan untuk 1,000 tetamu pada majlis perkahwinan dia dan kakaknya, Naemah Ramli, 34, pada 3 September lalu.

“Berdasarkan perjanjian, kami menempah nasi beriani namun ia diganti dengan nasi minyak tanpa pengetahuan kami.

“Selain itu, bekalan nasi terputus kira-kira jam 1 tengah hari dan mereka (syarikat katering) memberitahu tertinggal empat hingga lima tong yang sepatutnya dibawa ke majlis terbabit.

“Ramai tetamu tidak dapat menikmati hidangan kerana nasi hanya tiba lebih dua jam kemudian hingga menyebabkan empat plastik sampah nasi itu terpaksa dibuang,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas prosiding tuntutan itu, semalam.

Menurutnya, hidangan bubur pulut hitam dan ayam masak merah disediakan syarikat terbabit turut tidak boleh dimakan kerana basi.

“Selain makanan, syarikat itu bertanggungjawab antaranya menyediakan pelamin, meja makan beradab untuk empat pengantin dan fotografi dengan bayaran RM16,688,” katanya.

Saiful berkata, dia yang kecewa dengan perkhidmatan itu bertindak membuat laporan di Balai Polis Sri Muda, di sini, untuk tindakan lanjut pada 4 September lalu.

“Saya memfailkan tuntutan di TTPM sehari selepas gagal mendapatkan kerjasama daripada syarikat itu,” katanya yang lega dengan keputusan positif mengenai tuntutannya.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Alamanda, Seksyen 20, di sini, dia melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Nurul Fatihah Tahir, 23, manakala Naemah berkahwin dengan Mohd Fariz Mohd Nor, 32.

Sumber : HarianMetro



Sumber : Oh My Media TV

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.