Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ini Review Aku “TKO: Pejamkan Mata” Babak Terakhir Trilogi Malique Ibrahim - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ini Review Aku “TKO: Pejamkan Mata” Babak Terakhir Trilogi Malique Ibrahim

“TKO: Pejamkan Mata”, buah tangan kreatif terbaru Malique yang dilancarkan secara rasminya pada Disember 2016 dan seterusnya mendapat liputan meluas industri muzik tanahair pada awal Januari 2017. Album ini merupakan babak sambungan kepada dua buah album studio solo beliau yang sebelumnya, “O.K” (2008) dan “K.O The Mixtape” (2010) kolaborasi bersama DJ Fuzz.

Menyajikan 11 lagu bahasa Melayu yang terdiri dari 8 lagu lama yang tidak pernah dimuatkan dalam mana-mana album dan telah disuntik penambahbaikan dari segi kualiti bunyi, beberapa penggubahan komposisi dan penambahan lirik terhadap lirik asal serta menampilkan 3 buah lagu baru.

Gambar: Twitter Rap Melayu

3 buah lagu baru dipertaruhkan dalam album ini dimana hanya satu buah lagu, “Muzik Buatku High” yang disampaikan Malique secara berseorangan. 2 lagu lainnya meneruskan kelaziman Malique menjemput artis lain untuk berkolaborasi iaitu “Bukan Mudah” hasil paduan suara bersama kumpulan Nukilan, kumpulan yang dianggotai 3 anak muda yang ditubuhkan dibawah label Qarma Musiq milik Malique sendiri.

Manakala “Pejamkan Mata” hasil gandingan mantap bersama penyanyi bersuara lunak, Dayang Nurfaizah, yang kemudiannya diangkat sebagai judul album trilogi ketiganya ini.

Kumpulan Nukilan bersama penyanyi Shae semasa pelancaran lagu Rindu. Gambar: Google

“Muzik Buatku High” mengetengahkan keadaan masyarakat di Malaysia secara amnya dari sudut pandang dirinya sendiri. Sebagaimana umum mengetahui, Malique sering menulis lirik perihal rakyat Malaysia secara amnya dan masyarakat Melayu secara khususnya.

Beliau secara sinis dalam liriknya membincangkan beberapa norma tipikal dalam masyarakat, dari perbalahan pendapat di antara golongan tua dan muda kerana masing-masing tidak mahu menyelami perbezaan zaman antara keduanya dan bagaimana muzik sering menjadi ubat mujarab bagi setiap situasi permasalahan seseorang lantas sesuai dengan tajuknya “Muzik Buatku High”.

“Bukan Mudah” merupakan pertaruhan ketiga Malique berkolaborasi bersama Nukilan selepas kejayaan lagu “Rindu” dan “Aduh Neng” pada tahun 2015. Lagu ini secara rumusannya, mengisahkan turun naik perjalanan karier seni beliau sendiri setelah memilih untuk bergerak secara solo sejak 2007.

Perit jerihnya menghadapi dugaan industri seni yang beronak duri digambarkan dalam lirik ini dan bagaimana beliau menangkis semua itu dengan kecekalan, semangat dan usaha yang tidak henti. Melalui lagu ini beliau mendefinisikan untuk berjaya itu bukannya mudah dan walau apa pun yang menghalang, jangan sesekali lemah dan berputus asa walau pernah gagal beberapa kali.

Lirik yang dititipkan sangat sesuai dijadikan pesanan dan nasihat untuk mereka yang masih hijau didalam industri seni tanahair menerusi lagu “Bukan Mudah” ini. Bait lirik korus yang diulang-ulang dalam lagu ini jelas mengungkapkan keadaan Malique setelah tidak lagi bersama Joe Flizzow apabila memilih untuk tampil solo.

“Hampir lelah hampir jatuh diri ini,
Bila separuh semangat tiada di sisi,
Tak mengapa ku tempuhi dugaan,
Bukan mudah berjalan berseorangan.”

“Pejamkan Mata” boleh dikatakan satu pertaruhan bijak untuk dimuatkan dalam album ini, sebagaimana bijaknya pertaruhan beliau untuk album “O.K” dengan menampilkan M.Nasir melalui lagu Mantera Beradu yang mengungguli beberapa carta radio tempatan dan menjadi bualan sehingga ke hari ini.

Pemilihan Dayang Nurfaizah untuk bergandingan bersama sudah dapat menggambarkan impak yang bakal ditonjolkan menerusi lagu ini. Amatlah sukar untuk menginterpretasikan maksud sebenar di sebalik lagu ini secara keseluruhannya, ditambah dengan lirik puitis yang membawa bersamanya makna yang mendalam dan tersirat.

Ia mungkin boleh diterjemahkan kepada beberapa huraian dengan maksud yang berbeza. Namun jika dirumuskan dari sisi kefahaman umum yang mampu dicerna setiap lapisan kelompok sosial, lagu ini mengutarakan perihal masyarakat dunia masa kini yang semakin banyak masalah dengan perilaku manusia yang seakan tidak punya hati dan akal dan sebagai manusia biasa.

Justeru, alangkah lebih mudah jika pejamkan mata dan angankan semua yang indah tanpa derita dimana semuanya itu tidak mungkin mampu menjadi nyata saat pejaman mata terbuka. Bait lirik yang dilantunkan Dayang dan juga Malique ini walaupun tidak tersurat tetapi tampak tegas membawa maksud seperti dinyatakan.

Dayang Nurfaizah:
“Pejamkan mata
Mata yang lesu itu
Dan mimpikan yang indah
Mimpikan aku
Biarkan gelita
Menghapus derita
Pejamkanlah matamu.”

Malique:
“Hakikatnya nirvana di sana
Di sini masih lagi samsara
Cuba tak diperhambanya dunia
Sukar tapi aku cuba
Sukar
tapi aku cuba ya.”

Kulit album yang memaparkan 3 karektor dengan bukaan mata berbeza. Gambar: Youtube

Kulit hadapan album yang penuh kontroversi! Umum menyelar dan mengkritik kulit hadapan album ini yang disifatkan sebagai Al-Masih Dajjal. Namun, bertenang. Jangan cepat menilai isi yang tersurat dari rupa yang tersirat.

Sebaik membuka dan menyelami keseluruhan kulit album Malique kali ini, jelas secara kronologinya ia memberitahu bahawa album ini adalah kesinambungan trilogi dari dua album terdahulu, “O.K” dan “K.O” dan seterusnya yang terbaru “TKO”. Sepertimana ditunjukkan dari gambar 3 karektor pada kulit album yang masing-masing hanya berbeza dari gambaran mata yang terbuka.

Jika dilihat dari sudut pandang yang lainnya, mesej yang cuba disampaikan juga adalah jangan menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan, pandanglah dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasarnya dan memahami isinya.

Gambar sisipan di bahagian dalam album, mungkinkah itu Fuzz atau Flizzow?

Di dalam “TKO:Pejamkan Mata” ada dimuatkan sebuah lagu dari tahun 2010 yang dahulunya dikeluarkan secara single iaitu “2010 Masih Hip-Hop” duet bersama Joe Flizzow. Lagu ini adalah kesinambungan dari lagu “Masih Hip-Hop” kolaborasi bersama Daly (Ahli Fiqir) dan Altimet pada tahun 2009 menerusi album “K.O The Mixtape”.

Malique tidak menggunakan nama Too Phat tetapi sebaliknya mengambil langkah melabelkannya sebagai lagu duet bersama Joe. Namun, rata-rata peminat tegar Too Phat menyifatkan bait lirik didalam lagu ini sebagai memberi nafas dan harapan kepada semua peminat tegar yang rindukan mereka bersama.

“Too Phat dah bersara senegara terpedaya
mereka bina kerjaya kita dah bina empayar
dengan dua budak sihat ingat dah tamat riwayat
kita balik ketawa sambung hikayat
kalau ku pergi
tunggu
ku pasti kan kembali.”

Khabar angin ada bertiup menyatakan Malique bakal membuat abum penuh berbahasa Inggeris tidak lama lagi dan mungkinkah ia bakal memuatkan beberapa lagu bersama Joe Flizzow? Ia masih kekal rahsia.

Let's block ads! (Why?)





Sumber : VOCKET

P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.