Hi! Welcome Back and Stay Tune! Macam mana kita boleh hilang Pulau Batu Puteh dulu? Ini fakta yang kita kena tahu - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Macam mana kita boleh hilang Pulau Batu Puteh dulu? Ini fakta yang kita kena tahu

Macam mana kita boleh hilang Pulau Batu Puteh dulu? Ini fakta yang kita kena tahu

Mungkin ramai dari kita yang pernah pergi Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan sebagainya kat Malaysia ni. Tapi tak pernah pulak kita dengar yang orang melancong pergi Pulau Batu Puteh. Apa taknye, saiz pulau ni pun hanya sebesar padang bola sepak! Kalau main bola sepak pun konfem asyik hilang bola.

Walaupun pulau ni nampak macam takde nilai bagi kita, tapi pulau inilah yang direbutkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura. Sampaikan pertikaian ni dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2007.

Sebenarnya, ada 3 pulau yang dipertikaikan status kedaulatannya, iaitu Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

Yang kecik-kecik tu lah pulau-pulau yang direbutkan tu. Imej dari batuputih.blogspot

Akhirnya pada 2008, mahkamah memutuskan yang Pulau Batu Puteh jadi milik Singapura, Middle Rock jadi milik kita dan Tubir Selatan akan ditentukan berdasarkan persetujuan dua negara. Tapi baru-baru ni Malaysia sekali lagi nak tuntut pulau ni bila dapat beberapa bukti baru. Oleh itu, mari kita kenal dulu sejak bila Pulau Batu Puteh ni menjadi rebutan dua negara.

Sebelum ni, takde siapa yang kisah pasal Pulau Batu Puteh

Orang Portugis namakan pulau ni sebagai Pedra Branca yang jugak bermaksud Batu Puteh, dan nama tersebut masih lagi diguna oleh Singapura sekarang. Kenapa batu putih? Sebab dulu banyak taik burung bertepek yang buatkan pulau kecik ni jadi warna putih (betul tak tipu).

Berdasarkan rekod sejarah, pulau ni disifatkan berbahaya sebab dari tahun 1824 sampai 1851, sebanyak 25 kemalangan kapal terjadi kat kawasan pulau ni. Pulau ni jugak sebenarnya kosong dan takde siapa yang nak ambil pedulisampailah tahun 1851 apabila seorang warga British, Kapten James Horsburgh dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) membina sebuah rumah api.

Dah beratus tahun rumah api tu dah ada kat pulau ni. Imej asal dari news.asiaone.com

Rumah api tu pun dinamakan sempena namanya (Rumah Api Horsburgh). Bermula dari situ, Singapura kata yang pulau ni dah sah jadi milik British. Jarak antara pulau ni dari Malaysia adalah 7.7 batu nautika manakala 25 batu nautika dari Singapura.

Tapi sebab pokok mulanya pertikaian ni adalah bila Malaysia terbitkan peta rasmi pada 1979 dan dalam peta tu, Malaysia tetapkan yang Pulau Batu Puteh adalah sebahagian dari Malaysia. Pertikaian ni akhirnya membawa kepada ICJ di Belanda untuk dibicarakan.

Macam mana kita boleh kalah dalam pertikaian ni?

Masa dalam perbicaraan kat ICJ, Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh adalah pulau yang ‘tak bertuan’ sebelum 1847.  Bagaimanapun, ICJ menolak dakwaan ni dan mengesahkan yang Pulau Batu Puteh berada di bawah naungan Sultan Johor kerana ada orang laut yang jalankan aktiviti ekonomi kat situ. 

Orang Laut terkenal dengan sikap diorang yang setia pada Raja. Imej dari untoldhistoriesofmalaya.blogspot

Malaysia jugak berhujah yang kerajaan Johor ada bagi surat kebenaran kat British untuk bina rumah api kat Pulau Batu Puteh. Malangnya, Malaysia gagal kemukakan surat tu dan ia jadi hujah pulak bagi Singapura yang kemudiannya mengemukakan peta rasmi Malaysia/Tanah Melayu sekitar tahun 1962-1974, melabelkan Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura.

Tapi antara bukti yang paling tak boleh disangkal lagi, bila Singapura tunjukkan surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953. Ini kerana, dalam surat tu kata yang Johor tak tuntut hak milik Pulau Batu Puteh! Makanya, ICJ nampak yang ini sebagai tanda Johor dah melepaskan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Puteh. Secara halusnya, Johor dah hilang Pulau Batu Puteh sejak 1953 lagi.

Inilah surat yang dimaksudkan tu. Imej dari Wikipedia.

Selain tu, wakil Malaysia ke ICJ jugak dikatakan jadi punca kekalahan kita dengan Singapura. Perkara ni pernah disuarakan oleh Dr Mahathir suatu ketika dahulu. Katanya, Singapura hantar ketua hakim dan seorang peguam yang pernah kerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sedangkan Malaysia hanya hantar peguam negaranya yang tak berapa terkenal.

Berikut adalah mereka yang jadi wakil Malaysia dan Singapura:

Antara Pasukan Malaysia

  • Tan Sri Abdul Kadir Mohamad – Penasihat Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Luar Malaysia.
  • Datuk Noor Farida Ariffin – Duta Besar Malaysia ke Belanda, bertindak sebagai wakil bersama.
  • Tan Sri Abdul Gani Patail – Peguam Negara, ketua pasukan undang-undang.

Antara Pasukan Singapura

  • Tommy Koh – Dari Kementerian Luar Republik Singapura. Dia jugak profesor undang-undang kat Universiti Kebangsaan Singapura.
  • S. Jayakumar – Timbalan Perdana Menteri Singapura.
  • Chan Sek Keong – Ketua Hakim Negara.
  • Chao Hick Tin – Peguam Negara.

Walapun macam tu, Tommy Koh dan S. Jayakumar dalam buku diorang: ‘Pedra Branca: The Road to the World Court’ memuji, malah kata yang diorang sebenarnya takut dengan pasukan peguam Malaysia, terutamanya kepada Datuk Noor Faridah.

Team Singapura masa kat ICJ. Dari kiri: Tommy Koh, S Jayakumar dan Chan Sek Keong. Imej asal dari Channel News Asia.

‘Cuai’ jadi punca Malaysia kalah

Walaupun begitu, masih ada suara-suara yang tak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Ini kerana bagi diorang Malaysia memang ada hak ke atas pulau tu. Tindakan Malaysia yang cuai dan tak bersedia menyebabkan kekalahan kita di ICJ.

Antara kecuaian Malaysian adalah bila kita membiarkan Singapura menjalankan pentadbiran dan undang-undang kat kawasan Pulau Batu Puteh. Ini berlaku bila Singapura mendakwa yang diorang dah buat kawalan dan rondaan kat kawasan perairan Pulau Batu Puteh, sedangkan Malaysia tak buat semua tu. Tindakan Singapura itu jugak tak dapat bantahan dari Malaysia.

Imej asal dari navaltoday.com

Dalam hal ni, Singapura cuba bandingkan tindakan Malaysia kat Pulau Pisang, Johor (juga jadi pertikaian Malaysia-Singapura) dengan apa yang jadi kat Pulau Batu Puteh. Hujah diorang, Malaysia pernah suruh Singapura turunkan benderanya kat Pulau Pisang tapi tak buat  macam tu kat Pulau Batu Puteh.

Selain tu, sikap diam diri Malaysia bila Singapura pasang alat komunikasi pada 1977 dan cadangan negara tu nak buat penambakan laut di perairan Batu Puteh mula diterima dalam mahkamah. Menurut ICJ lagi, Johor dan Malaysia jugak dikatakan tak buat apa-apa ke atas pulau tu sejak tahun 1850 lagi, sampaikan bila ada pegawai-pegawai dari Malaysia nak buat urusan kat pulau tu, diorang terpaksa mintak kebenaran daripada Singapura.

Hadoi…Imej dari Giphy.

Oleh itu, Malaysia dilihat dah cuai dalam mempertahankan Pulau Batu Puteh bila bertindak mengabaikan pulau tu sejak 100 tahu lalu. Tapi apa yang lebih menyedihkan adalah kerana surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang kata Johor tak tuntut hak milik Pulau Batu Puteh.

“Kemudian pada 1953, tanpa berfikir panjang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengesahkan kepada Singapura bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Johor. Pengesahan itu dibuat secara hitam putih. Kecuaian ini menyebabkan kita kehilangan pulau itu.

Pengajaran penting daripada penghakiman ini kepada setiap pihak ialah belajarlah daripada sejarah. Kita perlu berhati‐hati apabila membuat keputusan agar generasi akan datang tidak menanggung kerugian penderitaan.” – Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, dipetik dari Berita Harian, juga tersiar di Jabatan Penerangan Malaysia.

Yang besar tu Singapura menang & yang kecik tu kita menang. Imej dari Astro Awani.

Kenapa pulau ni penting sangat sampai kita nak berebut bagai?

Sebelum apa-apa, mari kita faham dulu apa yang dimaksudkan dengan status ‘pulau’. Menurut Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS 1982), pulau adalah tanah yang dikelilingi air laut ketika air pasang.

Pulau yang manusia boleh hidup kat atasnya pulak dibenarkan untuk menjana laut wilayah (territorial sea), Zon Ekonomi Eksklusif (Exclusive Economic Zone) dan Pelantar Benua (Continental Shelf) di sekeliling pulau tersebut. Tapi pulau yang terbentuk dari batu macam Pulau Batu Puteh tak boleh menuntut Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua (continental shelf). 

Apa kebenda semua tu?

  1. Laut wilayah (territorial sea): Negara perairan pantai berhak dalam jarak 12 batu nautika dari pantai berdekatan (selalunya diukur dari garis air surut). Hal ini akan memberikan hak kedaulatan mutlak kepada sesebuah negara itu dalam lingkungan 12 batu nautika tersebut.
  2. Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ): Kawasan pesisir pantai dan dasar laut dalam jarak 200 batu nautika dari pantai negara (air surut di pantai). Negara mempunyai hak dan bidang kuasa menjelajah, mengeksploitasi, memulihara dan menguruskan sumber-sumber asli yang hidup dan yang tak hidup.
  3. Pelantar benua (continental shelf): Tanah dasar laut dalam jarak 200 batu nautika dari pantai negara (air surut di pantai). Selalunya diguna untuk perlombongan minyak.

Mungkin bila korang tengok ni, korang akan faham. Imej dari tunnel2funnel.com

Jadi apa pentingnya Pulau Batu Puteh ni sampai jadi rebutan? Pada tahun 1986, Singapura dah melancarkan operasi tentera ke atas pulau ni. Singapura jugak dah letakkan kapal perang berhampiran Pulau Batu Puteh dan jadikan kawasan sekitarnya tu sebagai ‘kawasan larangan’.

Nelayan-nelayan yang selama ni jadikan Pulau Batu Puteh sebagai ‘lubuk emas’ diorang mula dihalang menangkap ikan kat situ. Selain tu, kedudukan pulau ni pun sangat strategik, sebabnya Pulau Batu Puteh terletak kat jalan utama antara timur dan barat melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Jadi kalau Singapura berjaya dapatkan Batu Puteh, itu bermaksud Singapura ada kedaulatan di kawasan jalur laut yang penting…yang sepatutnya kawasan itu hanya milik Malaysia dan Indonesia sahaja.” – Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, jawapannya kepada SOSCILI.

Apa yang jadi kebimbangan pada Malaysia adalah Singapura bebas nak buat apa je kat pulau tu termasuklah penambakan laut. Jadinya pulau yang sebesar satu padang bola, tak mustahil boleh jadi sebesar 20 padang bola. Kalau perkara tu berlaku tak jadi masalah untuk Singapura buat pangkalan polis marin, tentera atau sebagainya.

Bekas Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew pernah cadangkan Singapura bina loji nuklear kat Pulau Batu Puteh. Imej dari Must Share News.

Malaysia kena ada bukti yang kukuh, kalau nak balik Batu Puteh

Sebenarnya keputusan ICJ masa 2008 tu adalah keputusan muktamad tanpa rayuan. Tapi ICJ masih lagi benarkan semakan dalam masa 10 tahun. Buat masa sekarang pihak Malaysia kata yang kita ada bukti baru dari arkib British yang kata Batu Puteh tak pernah jadi milik Singapura.

Team Malaysia masa kat ICJ. Dari kiri: Ghani Patail (peguam negara), Noor Faridah Ariffin (Duta Malaysia ke Blanda) & Abdul Kadir Mohamad (Penasihat PM dalam Hal Ehwal Luar). Imej dari airmata-darah-keringat

Usaha ni sebenarnya bagus cuma kita mesti ada bukti kukuh untuk menang. Kita tak boleh kalah sekali lagi, sebabnya perkara tu bukan je dah malukan negara malah mencalarkan maruah negara sekali lagi!

“Kita tidak mampu untuk kalah lagi, sebab ini melibatkan maruah negara dan kalau bukti ini tak kuat, saya berpendapat lebih baik kita selesaikan masalah secara perbincangan. Perbincangan boleh jadi menang-menang, tapi keputusan ICJ implikasinya menang-kalah.” — Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, jawapannya kepada SOSCILI.

Tarian yang disimpan kalau kita menang nanti. Imej dari Giphy.

Maka itu, marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersatu dan lupakan perselisihan politik kita dalam mempertahankan hak kita terhadap Pulau Batu Puteh. Sebabnya dengan kemenangan ni, nelayan kita takde masalah lagi untuk tangkap ikan kat kawasan tebabit. Kita jugak tak payah berbincang dengan Singapura lagi dalam membahagikan wilayah maritim.

“Kedudukan Middle Rocks dan Batu Puteh tidak lebih dari 1km, bayangkan kawasan maritim kita, tapi tiba-tiba ada wilayah Singapura di tengah-tengah. Kalau kita menang implikasi positifnya sangat besar tapi kalau kita kalah, sudah tentu maruah kita akan tercalar lagi.” – Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, jawapannya kepada SOSCILI.

Selain tu, ni bukannya kes pertama Malaysia yang libatkan ICJ. Sebelum Malaysia dan Indonesia jugak pernah masuk ICJ dalam isu pemilikan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan. Akhirnya pada 2002, ICJ putuskan yang kedua-dua pulau tu adalah milik Malaysia.

Pulau Batu Puteh adalah maruah yang kita kena pertahankan

Walaupun tindakan kerajaan dalam hal ni nampak baik. Tapi ada jugak mereka yang agak ragu-ragu dengan usaha kerajaan ini. Seperti mana yang dikatakan oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang mintak kerajaan jangan jadikan isu tuntutan semula Pulau Batu Puteh sebagai propaganda Pilihanraya Umum ke 14. Perkara ni pun disebut oleh Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam blognya.

“Najib berharap dengan membangkitkan semula tuntutan Pulau Batu Puteh ini, yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk pengurusan kesnya akan melupakan rakyat terhadap penyelewengannya dari nasionalisme Malaysia sehingga Pilihanraya ke-14.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, dipetik dari Zamkata.

Tak patut…tak patut….

Walau bagaimanapun, isu tuntutan Pulau Batu Puteh tetap dianggap sebagai isu maruah negara yang terlepas ke negara asing. Sebuah pulau yang telah sekian lama menjadi milik kita akhirnya terlepas hanya kerana kelalaian kita untuk menjaga dan mempertahankannya.

Tapi dengan azam yang kuat dan keteguhan maruah, kita sepatutnya bersama-sama mempertahankan hak kita sebagai pemilik sah Pulau Batu Puteh. Mungkin kita boleh ambil kata-kata Almarhum Sultan Johor, yang tegas dalam mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh.

“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.” – Almarhum Sultan Iskandar, dipetik dari Malaysiakini.



Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2lqHwIO

a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.