Coretan kenangan tiga artis
Tiga selebriti ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Masing-masing memiliki kelebihan tersendiri dalam bidang seni. Pada masa sama, mereka juga menulis untuk akhbar ini.
Fara Fauzana memiliki ruangannya sendiri dalam sisipan Majalah M, Metro Ahad pada 2012.
Tahun lalu, pelakon dan pengacara jelita, Neelofa tampil dengan penulisannya dalam ruangan Nota Neelofa di sisipan Selebriti, Metro Ahad.
Tahun ini giliran Ayda Jebat pula menulis di ruangan yang dinamakan Muah Ciked di sisipan Selebriti, Metro Ahad.
Sempena ulang tahun ke-26 akhbar ini, ikuti pendapat mereka mengenai Harian Metro.
Neelofa
Neelofa bersyukur dan sangat terhutang budi kerana sentiasa mendapat sokongan Harian Metro (HM).
“Sebagai artis, pastinya akhbar menjadi medium penting dalam memastikan kelancaran perjalanan kerjaya saya,” kata pengacara dan pelakon popular ini.
Ditanya mengenai HM, Neelofa berkata, pada usia 26 tahun HM sentiasa kelihatan muda.
“Itulah yang dapat saya simpulkan mengenai HM. Saya sendiri pernah menjadi ahli keluarga HM dua tahun lalu apabila diberi ruang mengendalikan ruangan Nota Neelofa,” katanya.
Menurut Neelofa, menerusi kepercayaan HM itu, ia memberi impak besar terhadapnya apabila menemui minat baru dalam penulisan.
“HM boleh dikatakan antara ‘trend setter’ dalam dunia penerbitan akhbar pada masa kini. Banyak perubahan yang dapat disaksikan sepanjang kewujudan akhbar ini.
“Antara yang menarik perhatian saya ialah bagaimana HM berjaya melaporkan atau menulis mengenai sesuatu isu melalui satu sisi yang berbeza. Di samping itu, penggunaan ‘heading’ dan susun atur akhbar sentiasa berubah mengikut peredaran dan trend terkini,” katanya.
Ayda Jebat
Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat meletakkan HM sebagai antara tulang belakang kepada kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Dia juga menganggap HM sebagai sebahagian daripada keluarganya kerana tidak putus-putus menyalurkan maklumat mengenai perkembangan seninya selama ini.
“Selamat ulang tahun ke-26 HM. Walaupun melalui pelbagai perkara susah senang, suka duka, dugaan dan rintangan, tetapi HM masih menjadi peneman setia pembaca seluruh negara.
“Berita yang disajikan juga sentiasa sensasi dan terkini apabila ia dikemas kini hampir setiap minit di Facebook, Twitter dan laman web rasmi HM,” katanya.
Ayda berkata, walaupun peranan media makin berkembang berbanding dulu, dia memuji inisiatif yang dilakukan HM kerana sentiasa mengikut peredaran zaman dengan memperkenalkan pelbagai bentuk dan cara bagi memenuhi selera pembaca.
“Terima kasih kepada HM kerana sentiasa bersama saya ketika susah dan senang sepanjang menempatkan diri dalam bidang hiburan.
“Jasa kalian amat saya hargai. Saya berharap HM terus terbang tinggi dan bertakhta di hati pembaca setianya,” katanya.
Fara Fauzana
“Harian Metro (HM) bukan sekadar akhbar, tetapi banyak mendidik saya menjadi penulis ketika menggalas tanggungjawab sebagai kolumnisnya,” kata pengacara dan bekas penyampai radio popular ini.
Fara yang menulis untuk akhbar ini pada 2012 berkata, pada mulanya dia menulis sendiri artikel yang dikeluarkan, tetapi pada satu ketika dia terlalu sibuk dan meminta orang lain menterjemahkan ideanya.
“Memang ada yang perasan perbezaan gaya bahasa yang digunakan orang lain. Menyedari ada pengikut untuk kolum itu, saya kembali menulis sendiri,” katanya.
Fara berkata, dalam kerjayanya sebagai anak seni, HM sangat membantu dengan menyiarkan cerita mengenainya dan pelbagai aktiviti membabitkan stesen radio tempat dia bekerja ketika itu, Hot FM.
“Waktu itu, media sosial tidaklah sehebat hari ini. Jadi, untuk berkongsi aktiviti terbaru dengan peminat, akhbar menjadi medium utama.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-26 ini, saya ucapkan selamat maju jaya kepada HM dan sama-sama kita meraikannya,” katanya.
The post Coretan kenangan tiga artis appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2noipIl✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment