Saya diamkan diri sebab hormat Dr Mahathir, kata Nazri
PETALING JAYA: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mempertahankan tindakannya mendiamkan diri ketika menemui Tun Dr Mahathir Mohamad semalam untuk menghormati bekas perdana menteri itu. Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, etika standard ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri ialah “anda tidak bercakap dengannya kecuali beliau bercakap dengan anda terlebih dahulu”.
“Itulah keadaannya ketika dia jadi perdana menteri. Saya agak biasa dengan keadaan itu, jadi saya tunggu dia cakap dengan saya dulu.
“Tapi dia tak cakap apa-apa sampai ke sudahnya. Itu sebab Mahathir kata saya mendiamkan diri,” katanya ketika dihubungi FMT.
Nazri berkata, Dr Mahathir langsung tidak ramah pada perjumpaan semalam.
“Dia tak mesra sama sekali. Dia tumpu perhatian kepada makanannya. Tetapi saya nak menghormati dia kerana dia kelihatan begitu lemah. Jadi, saya diam sahaja.”
Walaupun debat tidak diadakan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara semalam, Nazri dan Dr Mahathir sebaliknya mengadakan pertemuan kira-kira setengah jam sambil menikmati “laksa kuala” dan cendol serta menghayati pemandangan indah Sungai Perak di Lembah Kuala Kangsar.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu ketika menghadiri sebuah ceramah anjuran parti itu di Kuala Kangsar pada malam Sabtu menyifatkan Nazri sekadar membisu dan senyum ketika menemui beliau semalam.
“Dia nak sangat jumpa saya, saya ingat dia nak beritahu saya dia nak letak jawatan, tetapi dia macam orang bisu, duduk diam-diam di sebelah saya. Jika dia bisik di telinga saya, saya akan dengar, tetapi dia tak cakap apa-apa, hanya duduk dan tengok bahagian depan,” katanya dipetik Oriental Daily.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, sebaik beliau tiba, seorang daripada pembantu Dr Mahathir cuba menghalang mereka berdua berjumpa.
“Walaupun salah seorang pembantunya cuba menjauhkan Mahathir dari saya, saya hanya pergi ke sana dan jabat tangannya.
“Kami kemudian pergi ke sebuah gazebo di tepi sungai dan saya duduk di sebelahnya selepas pembantunya mengosongkan sebuah kerusi untuk saya.”
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, debat yang dijadualkan berlangsung pada 7 April ini di Shah Alam, adalah medan terbaik untuk menyuarakan pandangan mereka.
“Saya rasa kalau ada apa-apa yang perlu dikatakan, ia perlu disuarakan pada 7 haribulan, bukannya di sana (Kuala Kangsar).”
Nazri menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai skandal 1MDB dan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang berlaku pada era 1980-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir, juga sumbangan RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Debat itu sepatutnya diadakan di Dewan MRSM di Kuala Kangsar semalam, tetapi ia terpaksa dibatalkan selepas polis menolak permohonan permit mengadakan perbahasan itu atas faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.
Debat itu kini akan diadakan pada 7 April ini di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.
Sumber :
– http://ift.tt/IrnvO1
The post Saya diamkan diri sebab hormat Dr Mahathir, kata Nazri appeared first on MyNewsViral.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2nBJtFW✍ Sumber Pautan : ☕ MyNewsViral
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment