Adam Corrie terus istiqamah
TERUS giat mendalami ilmu agama, saudara baru, Adam Corrie Lee bukan sahaja memanfaatkannya untuk diri sendiri, tetapi juga sebagai pendakwah.
Biarpun dicemuh, selebriti berusia 49 tahun ini nekad untuk terus istiqamah dengan pegangannya itu demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Sebenarnya, hidup sebagai mualaf itu mudah malah dalam Islam juga sudah menjelaskannya. Tetapi, sikap segelintir masyarakat Islam itu sendiri yang menyukarkan.
“Alhamdulillah, saya tetap berpegang pada niat sebenar memeluk Islam,” katanya pada Media Hiburan.
Menggalas dua tanggungjawab berat, Adam bagaimanapun menyedari terdapat pelbagai cabaran yang harus dihadapi sejak memeluk Islam pada 2007.
“Ada memandang saya sebagai mualaf yang tiada apa-apa ilmu agama. Ada juga komen di Facebook, suruh saya jangan poyo sangat nak jadi pendakwah.
“Jadi, individu-individu seperti ini yang membawa hidup mualaf itu penuh dengan dugaan,” katanya.
Pun begitu, pemilik nama asal Lee Choon Kooi ini enggan mengalah dan terus berdoa kepada ALLAH agar diberi petunjuk.
“Walaupun ada sedikit terasa hati, saya balas setiap komen dengan cara yang baik. Saya berdoa agar diberi peringatan baik supaya saya boleh menjadi pendakwah yang baik secara perlahan-lahan.
“Saya sendiri pun masih lagi dalam proses pembelajaran,” katanya.
Tanpa disedari, Adam berjaya menarik lebih 15 individu bukan Islam untuk memeluk agama Islam sejak bergelar mualaf hampir 10 tahun lalu.
Atas niat membantu golongan saudara baru ini, Adam dan isterinya, Fazema Mohd Fuad menubuhkan Pertubuhan Kembara Iman Malaysia, sejak tahun lalu.
Katanya, tujuan utama pertubuhan itu adalah untuk membantu golongan mualaf yang memerlukan bantuan dari segi ilmu dan pengetahuan.
Pada masa sama, katanya, pertubuhan itu juga berusaha mencari dana untuk membawa golongan mualaf menunaikan umrah secara percuma.
“Pertama kali mengerjakan umrah, saya rasa sangat seronok.
“Di sana saya dapat merasai perjuangan Nabi Muhammad SAW. Bagaimana baginda mengembangkan Islam dan sanggup menggadai nyawa demi Islam dan menguatkan akidah umat Islam. Jadi, saya nak perasaan itu turut dirasai oleh mualaf lain,” katanya.
Sehingga hari ini, katanya, Pertubuhan Kembara Iman Malaysia sudah membawa lebih 90 mualaf menunaikan umrah.
Watak samseng
Sementara itu, mengulas pembabitan dalam arena seni, Adam berkata penerbit dan pengarah seharusnya memberikannya watak berbeza.
Katanya, walaupun watak samseng sering diberikan namun penonton juga mahu melihat penampilannya dalam pelbagai watak.
“Saya sebenarnya tak berkira sangat. Saya pun nak bawa watak yang baik tetapi saya perlukan peluang dan ruang untuk saya tonjolkan bakat. Bila pergi uji bakat watak baik, mereka akan kata muka saya muka pecah rumah. Tak boleh lagi, kena bawa watak jahat.
“Saya minta dengan pengarah dan penerbit, berilah saya peluang untuk saya tunjukkan watak baik. Sampai akhirnya pun tak dapat,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon KL Gangster 2 ini juga mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran kerana watak dan bayaran yang tidak setimpal.
“Kadang-kadang, budak baru pun dibayar lebih mahal. Ini kerana ada yang lihat dari segi rupa, tetapi bukan bersandarkan pada lakonan, kemahiran dan pengalaman.
“Saya tak pernah demand, tapi jangan buat saya demand,” tegasnya
Dalam perkembangan lain, Adam juga bertindak sebagai duta untuk pakaian baju Melayu Elle Zada 2017.
“Saya ada buat solat istikharah beberapa kali sebelum menerima tawaran ini. Lagipun, saya pernah fobia pakai baju Melayu kerana kerap ditegur pihak-pihak tertentu.
“Keadaan itu juga yang buatkan saya lebih selesa berjubah,” katanya yang teruja menantikan Ramadan.
The post Adam Corrie terus istiqamah appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rCIUv9
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment