AKHIRNYA PEMBANGKANG ADA PEMIMPIN BERKALIBER TERAJUI PUCUK PIMPINAN
Apa yang boleh disumbangkan oleh lelaki berusia 92 tahun kepada sekumpulan ahli politik paling berpengalaman dan cerdik di Malaysia?
Sebagai permulaan, tenaga tak terbatas, arah dan etika kerja yang tidak dapat ditandingi – tiga ramuan yang hilang daripada barisan hadapan pihak pembangkang sejak beberapa tahun lalu atau lebih.
Inilah yang berlaku beberapa hari selepas Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim diumumkan akan bekerjasama dan bekas perdana menteri itu menjadi pemimpin de facto Pakatan Harapan (PH): mesyuarat diadakan; isu yang diketengahkan dalam mesyuarat segera diambil tindakan; kerja diagihkan dan draf manifesto serta perlembagaan parti diperkemaskan.
Ringkasnya, secara tiba-tiba terdapat banyak aktiviti di kalangan ahli politik PH yang selepas lebih 12 bulan hanya memberi penumpuan kepada perkara remeh-temeh, nampaknya terdapat keperluan segera menyelesaikan perkara dalaman parti dan pelan hala tuju berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mungkin untuk kali pertama sejak sekian lama, gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu nampaknya bergerak dalam satu arah – didorong keinginan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Pasti ada isu kepercayaan di kalangan beberapa ahli politik pembangkang dan Dr Mahathir, satu situasi yang boleh difahami kerana ahli politik veteran itu adalah presiden Umno selama lebih dua dekad dan bertanggungjawab bagi senarai panjang kesalahan yang dilakukan semasa berkhidmat.
Dan ada kemungkinan yang “cinta” terkini antara Dr Mahathir dan Anwar atau pemimpin PH yang lain boleh berakhir secara dramatik disebabkan perkara kecil.
Tetapi pada masa sekarang, sentimen di dalam PH nampaknya adalah satu kelebihan besar mempunyai Dr Mahathir yang bertindak memberi arahan operasi – dan menerima serangan daripada Najib dan ahli politik Umno yang lain.
Sepanjang hujung minggu, ahli politik Umno silih berganti menyerang Dr Mahathir, memanggilnya pengkhianat dan pelbagai gelaran tidak elok untuk dinyatakan.
Dr Mahathir menerajui transformasi ekonomi Malaysia dan menukar latar langit Kuala Lumpur tetapi rekod sepanjang pentadbirannya juga penuh dengan “masalah”, terutama penghapusan beberapa institusi, penahanan tanpa perbicaraan ahli politik pembangkang dan rekod kurang menyerlah bagi usaha penswastaan.
Najib meminta Dr Mahathir menyatakan jika beliau masih percaya apa yang dikatakannya pada 1997 – yang Anwar tidak layak memegang jawatan tertinggi kerana tuduhan liwat yang menyebabkannya dipecat sebagai timbalan perdana menteri dengan dua sabitan.
Ya, Dr Mahathir akan diasak dari semua arah dari sekarang hinggalah menjelang PRU14. Kerajaan tahu beliau adalah orang penting dalam PH dan jika mampu mencederakannya, ia akan berjaya dalam usaha menggegarkan pakatan pembangkang.
Tetapi sejarah menunjukkan Dr Mahathir akan bersedia, malah mengalu-alukan, menjadi tumpuan serangan. Jika tidak, ia hanya akan membuktikan pendapatnya yang Najib sedang ketakutan.
Selepas beliau memecat Anwar pada September 1997 dan memperkenalkan kawalan modal, Dr Mahathir dibenci di dalam dan luar Malaysia.
Pemimpin antarabangsa dan penerbitan terkenal memanggilnya penentang dan melayannya seperti paria. Mereka yang rapat dengannya berkata, walaupun digertak dan tertekan dengan pemulauan serta kecaman yang diterima, beliau tetap menghargainya.
Ia menarik untuk dilihat sama ada lelaki yang pernah digelar “Mahafiraun” itu boleh bertahan dengan serangan hari ini dengan cara yang sama dilakukannya antara 1997 hingga 2003.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tplhLb
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment