Hi! Welcome Back and Stay Tune! 10 Perkara Yang Lebih Baik Di Dalam Dunia Permainan Video Dahulu Berbanding Sekarang. - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

10 Perkara Yang Lebih Baik Di Dalam Dunia Permainan Video Dahulu Berbanding Sekarang.

Permainan video telah wujud sejak dekad 70an. Ia dahulu dianggap permainan kanak-kanak tetapi kini telah berevolusi menjadi peluang kerjaya dengan pendapatan mencecah puluhan juta setahun. Harus diakui stigma menjadi seorang gamer kini sudah tidak seteruk dahulu.

Sungguhpun begitu sebagai orang lama yang sudah lebih 30 tahun bermain permainan video, kami masih merindui beberapa perkara di dalam dunia permainan video dahulu berbanding sekarang. Berikut ialah 10 perkara yang lebih baik di dalam dunia permainan video dahulu berbanding sekarang.

1.Tiada Masalah Peminat Fanatik Bertengkar.

Membesar di dekad 80an, dua konsol yang paling popular di pasaran ialah Nintendo NES atau Sega Master System. Dekad 90an pula SNES menjadi pencabar kepada Mega Drive (Genesis). Saya adalah peminat tegar Sega kerana ia satu-satunya konsol yang membenarkan kami bermain Sonic The Hedgehog, Bare Knuckles dan Comix Zone.

Permainan Mario dan Zelda buatan Nintendo bagi kami pada waktu tersebut adalah sedikit keanak-anakan. Perang konsol pada waktu tersebut tidak begitu ketara dibandingkan sekarang kerana tiada platform seperti YouTube untuk bertengkar dengan peminat konsol berlainan.

Malahan ketika membesar saya pernah bertukar-tukar konsol dengan rakan sekolah bagi menikmati permainan eksklusif yang tidak dapat kami mainkan. Sekarang jarang sekali kami mendengar peminat PlayStation meminjamkan konsol kepada peminat Xbox. Kesetiaan melampau pada konsol pilihan serta ego menghalang ini dari berlaku sekarang dan amatlah merugikan.

2.Tiada Masalah Patch Hari Pertama Dan Pepijat Yang Kronik

Day One Patch ialah masalah moden dunia permainan video. Permainan zaman dahulu boleh dimainkan tanpa masalah tanpa memerlukan patch. Pembangun permainan dahulu tidak dipaksa oleh pihak atasan untuk mengejar tarikh jualan yang dijanjikan. Permainan yang dijual apabila ia siap dihasilkan.

Kita kini di tahun 2017 dan patch hari pertama sudah menjadi perkara wajib bagi memastikan permainan dapat dimainkan tanpa pepijat yang kronik Kadang kala patch yang diberikan lebih besar dari saiz permainan asal. Contoh terbaik ialah Tony Hawk Pro Skater 5. Saiz asal muat turun ialah 4.6 GB manakala patch hari pertamanya sebesar 7.7GB.

Saya mungkin tergolong di dalam kumpulan minoriti yang merasakan adalah lebih baik permainan ditangguhkan dari dijual mengikut jadual tetapi dengan pelbagai pepijat yang menimbulkan kemarahan.

3.Tiada Masalah Spoiler

Dengan adanya media sosial dan YouTube, jalan cerita permainan video dengan mudah mengalami masalah spoiler. Misteri jalan cerita Hellblade Senua’s Sacrifice telah muncul di YouTube hanya selepas beberapa jam ia dijual. Di Facebook dan Twitter algoritma yang digunakan menyebabkan spoiler akan muncul tanpa dipinta.

Dua puluh tahun yang lalu ini bukanlah masalah. Spoiler hanya akan ditemui sekiranya majalah seperti PC Gamer, PSM dan Game Informer dibeli di kedai buku. Kesudahan jalan cerita permainan klasik seperti Metroid. Metal Gear Solid dan Bioshock tidak dirosakkan melainkan anda mencarinya sendiri.

4.Konsol Lebih Tahan Lama

Sebulan sekali saya akan mengeluarkan PlayStation dan Sega Saturn dari tempat simpanan untuk bermain permainan klasik. Konsol-konsol klasik ini sudah berusia lebih dua dekad tetapi masih boleh dimainkan. Malahan dari pengalaman berbual dengan rakan gamers yang lain, konsol lebih tua seperti NES masih berfungsi tanpa masalah.

Konsol yang lebih muda pula lebih cepat menemui ajal. Kami memiliki dua PlayStation 2. Salah satunya rosak mengejut selepas 5 tahun. Xbox 360 dan PlayStation 3 umum diketahui dihantui masalah RROD dan YLOD.

Ini adalah kerana ia lebih berkuasa dan komponen menjadi lebih cepat panas. Pada waktu yang sama motor pemacu cakera serta tali sawat getah akan rosak jika konsol dimainkan dengan kerap. Ini adalah sebab mengapa kami memuat turun permainan untuk PS4 bagi memanjangkan hayat pemacu Blu-Ray yang digunakan.

5.Mutiplayer Bersama Rakan Sebilik

Permainan video lebih seronok dinikmati bersama rakan. Contra, Mario Kart dan Goldeneye ialah tiga contoh permainan multiplayer yang boleh amat popular dahulu. Beza dahulu dan sekarang ialah bermain bersama rakan dahulu dilakukan secara fizikal. Kini ia dilakukan hampir sepenuhnya secara atas talian. Malahan fungsi split-screen multiplayer kini semakin pupus.

Multiplayer atas talian masih menyeronokkan tetapi mengalahkan rakan baik yang duduk bersebelahan lebih “enak” kerana dapat melihat kemarahan yang membuak-buak di depa mata.

6.Tiada Transaksi Mikro

Inginkan peralatan terbaik di dalam FF VIII? Habiskanlah masa beberapa jam untuk mengalahkan musuh yang paling kuat di Island Closest To Hell. Tetapi kini tidak lagi. Transaksi mikro sudah digunakan dengan meluas dan memberikan jalan pintar mendapatkan senjata terbaik sekiranya anda sanggup membayar lebih. Transaksi mikro merosakkan permainan dan mendatangkan ketidakadilan apabila bermain secara atas talian. Ia menguntungkan pembangun tetapi sebenarnya pada hemat saya merosakkan dunia permainan video.

7.Janji Tidak Ditepati.

Ini fenomena yang  amat menjengkelkan. Semasa dalam pembangunan, pelbagai trailer dan teaser dikeluarkan oleh pembangunan bagi menunjukkan kemampuan grafik permainan. Selepas permainan dijual, grafik langsung tidak menyamai apa yang ditunjukkan di dalam trailer, Watch Dogs, Aliens Colonial Marines dan Rainbow Six Siege adalah tiga contoh terbaik permainan yang tidak menepati visual asal.

Pada zaman dahulu grafik permainan ditunjukkan di dalam iklan. Jarang sekali grafik sebenar tidak menyamai apa yang dipaparkan pada iklan.

8.Permainan Hadir Dengan Buku Panduan Lengkap

Kami orang tua sekolah lama. Permainan yang dibeli dahulu hadir dengan manual yang amat lengkap dan pelbagai kandungan tambahan. Permainan Command and Conquer versi PC yang kami belia pada pertengahan 90an mempunyai buku panduan lengkap, poster dan buku kecil yang menceritakan latar belakang permainan. Contohnya kubu Brotherhood of Nod di Malaysia terletak di Kuantan!

Permainan moden kini hadir hanya dengan cakera padat. Kalau anda membeli edisi khas anda akan menerima kertas kod muat turun kandungan eksklusif dan beberapa lain iklan untuk permainan yang dihasilkan pembangun. Buku panduan lengkap sudah pupus dan membuatkan pembelian permainan versi fizikal kurang berbaloi.

9.Grafik Diberikan Kepentingan Berbanding Mutu Permainan

Ryse : Son of Rome dan The Order 1888 ialah dua permainan yang kelihatan amat cantik. Selepas trailer diperlihatkan ramai melakukan pra-pesanan kerana terlalu teruja. Malang sekali grafik yang cantik tidak dapat menutup jalan cerita dan permainan yang amat bosan. Pembangun menyedari grafik yang cantik dapat membuatkan orang ramai membeli produk mereka walaupun ia adalah permainan yang gagal.

Permainan video zaman 8 dan 16 Bit adalah amat buruk dari segi grafik. Kesemuanya berkotak dan langsung tidak realistik. Sungguhpun begitu Super Mario Brothers, Starcraft dan Age of Empires II masih dimainkan sehingga sekarang oleh generasi baru kerana kesemuanya permainan yang tidak membosankan. Saya sendiri sehingga kini masih memainkan Command and Conquer walaupun grafik sudah ketinggalan zaman. Tiada permainan lain di pasaran semasa yang dapat menandingi permainan ini.

10.Kurang Tekanan Dari Rakan Sebaya

Sama ada bermain di konsol ataupun Steam, anda tidak boleh lari dengan keperluan untuk mengumpul markah pencapaian. Rakan yang mempunyai markah pencapaian yang tinggi lebih tinggi. Status sebagai NOOB lebih mudah dikesan kerana profil boleh dilihat oleh teman seangkatan. Ini bukanlah masalah besar dua puluh tahun dahulu dan kewujudan “kasta” di kalangan gamer tidak terlalu ketara.


Apakah pula perkara yang lebih baik di dalam dunia permainan video dahulu berbanding sekarang? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen.



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2fDTaSe

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.