Katharsis Mungkin Album Terakhir Search
KUALA LUMPUR: Search memberi bayangan Katharsis yang juga album ke-12 mereka sebagai naskhah studio terakhir yang mungkin dihasilkan kumpulan berkenaan.
Vokalisnya, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abd Rahman, berkata mereka sudah berusia melepasi garis 50-an, selain kumpulan itu sendiri mempunyai arkib lagu popular yang panjang dan malar segar hingga sekarang.
"Album ini pun menunggu 11 tahun untuk dihasilkan. Jika ditanya, saya sendiri tiada jawapan bila album seterusnya akan dibuat. Mungkin ini yang terakhir daripada Search.
"Hakikatnya, banyak faktor perlu diambil kira sebelum menghasilkan produk studio baharu. Jika ada pun 'material' dan wang, kena lihat pula usia kami. Saya sendiri akan mencecah usia 60 tahun pada tahun depan.
"Pada masa sama, jika kumpulan atau penyanyi lain mungkin hanya ada beberapa lagu hits, Search lebih bertuah kerana mempunyai seleksi lagu popular yang banyak dan terus menjadi siulan pendengar termasuk generasi muda," katanya selepas pelancaran album Katharsis, di sini.
Turut hadir, anggota Search lain, Nasir (bes), Din (gitar), Kid (gitar); penerbit album, Datuk M Nasir dan Presiden Pawana Music, Datuk Ahmad Zaharul Annuar yang menjadi tulang belakang penerbitan naskhah terbabit.
Amy berkata, kepercayaan Ahmad Zaharul selaku orang kuat Pawana yang juga peminat nombor satu Search merealisasikan pembikinan produk berkenaan yang dihasilkan selepas kali terakhir muncul bersama album studio Gothik Malam Edan.
Akui Amy lagi, album itu sangat istimewa apabila digarap khas buat tiga generasi pengikut tegar mereka, apatah lagi ia mengimbau semula kegemilangan Fenomena yang sarat roh rock hingga menjadi album terlaris.
"Kami mengambil masa paling lama iaitu 700 jam bagi menyiapkan album ini, sekali gus ia mencatat sejarah sebagai produk studio paling lama untuk disiapkan sepanjang kerjaya kami.
"Proses pengumpulan bahan bermula bulan puasa lalu dan dijangka selesai rakaman minggu ini. Jika tiada aral, akhir bulan ini ia siap sepenuhnya. Ketika masuk studio, memang kami tiada idea tetapi dengan bantuan M Nasir, ia terus berkembang.
"Selain penerbit kami yang memberikan lima komposisi lagu, Search sendiri awalnya sudah ada 10 karya baharu di dalam arkib. Katharsis seperti garapan album gemilang kami yang lalu apabila sarat elemen dan bunyi yang lebih berkualiti.
"Seperti kata M Nasir, Katharsis sarat roh rock yang kental," katanya yang memaklumkan tiga kali berjumpa penerbit terbabit untuk membincangkan projek album itu.
Selain M Nasir, Search turut bekerjasama dengan beberapa komposer dan penulis lirik prolifik yang pernah menjayakan album terdahulu seperti S Amin Shahab, Usop dan Buddi Hekayat.
Pada masa sama, Amy enggan mengulas atau membalas kenyataan Yazit yang sebelum ini enggan dipanggil sebagai bekas anggota Search.
Bersempena penerbitan album baharu, Search bakal beraksi di Konsert Gegaran! anjuran Dcode Dunia Juara bersama Bunkface, Hujan, Oh! Chentaku dan band Indonesia, Nidji, di Tapak Bazarena, Shah Alam, Selangor, pada 2 Disember depan. - BHOnline
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xSPjVH
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment