Apa Akan Terjadi Sekiranya Saiz Bumi Membesar 2 Kali Ganda Secara Tiba-Tiba?
Sekiranya saiz bumi berganda secara tiba-tiba, jisim bumi akan bertambah sebanyak 8 kali ganda (berdasarkan kiraan menggunakan formula tertentu) dan tarikan graviti bumi akan meningkat sebanyak 2 kali ganda. Berikut adalah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya perkara ini terjadi.
Berat Semua Objek Di Bumi Akan Bertambah
Sekiranya diameter bumi berganda, dengan ketumpatan yang tidak berubah, jisim bumi turut akan meningkat bersama dengan tarikan graviti sebanyak 2 kali ganda. Berat objek di bumi bergantung kepada tarikan graviti bumi, dan peningkatan graviti sebanyak 2 kali ganda akan meningkatkan berat sesuatu objek sebanyak 2 kali ganda juga. Sekiranya berat anda adalah 65 kilogram sebelum perubahan saiz bumi, berat anda selepas bumi membesar adalah 130 kilogram. Bayangkan bagaimana anda berjalan dengan berat yang berganda.
Sukan Akan Menjadi Aktiviti Yang Jarang Dilakukan
Dengan berat yang bertambah, sudah pasti pergerakan kita akan menjadi terhad. Pergerakan kita akan menjadi semakin lambat, susah untuk berjalan, apatah lagi untuk berlari mahupun melompat. Kita juga akan mudah berasa letih dan memerlukan rehat yang lebih banyak. Lama-kelamaan, tulang dan otot kita akan menjadi lebih kuat untuk menyokong dan menyesuaikan diri dengan keadaan yang baharu.
Pokok Akan Tumbang
Pokok mempunyai had tumbesaran, dan sebenarnya turut terkesan dengan daya tarikan graviti. Dalam kata mudah, pokok akan terus membesar sekiranya jumlah tenaga yang diperolehi melalui proses fotosintesis adalah melebihi jumlah tenaga yang diperlukan untuk membawa air ke bahagian batang pokok di atas. Peningkatan graviti akan mengganggu keseimbangan pokok kerana ia akan memerlukan lebih tenaga untuk mengangkut air, berbanding sebelumnya. Pokok tinggi akan tumbang, dan pokok baharu tidak akan tumbuh meninggi.
Kehidupan Di Bumi Akan Menjadi Semakin Rendah atau Pendek
Dengan tekanan yang berganda, ia akan memberi kesan terhadap tumbesaran semua kehidupan di bumi, termasuklah terhadap manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Tarikan graviti yang bertambah akan memberi tekanan berlebihan terhadap tulang belakang manusia dan haiwan. Akibatnya, kedua-dua jenis hidupan ini akan menjadi semakin pendek. Di angkasa lepas, tarikan graviti adalah lebih rendah, dan atas sebab inilah kadar tumbesaran angkasawan meningkat. Namun, sekembalinya mereka ke bumi, ketinggian mereka kembali seperti biasa.
Gempa Bumi dan Tsunami Semakin Kerap
Peningkatan tarikan bumi secara tiba-tiba akan menyebabkan tekanan berganda terhadap plat lautan, yang akhirnya akan menyebabkan ketidakstabilan kerak bumi. Akibatnya, gempa bumi akan berlaku dengan lebih kerap, begitu juga dengan tsunami. Namun, kesannya tidaklah terlalu serius sekiranya peningkatan tarikan graviti bumi sejajar dengan pengembangan kerak bumi.
Letusan Gunung Berapi Yang Lebih Rancak dan Kerap
Jumlah elemen yang tidak stabil di dalam perut bumi akan menjadi lebih berat, menyebabkan pemanasan berlebihan dan peningkatan aktiviti gunung berapi. Gunung berapi yang tidak aktif akan 'terjaga' selepas 'tidur' lebih ribuan tahun. Permukaan bumi yang bersaiz besar akan berubah, mengambil kira aktiviti gunung berapi yang berupaya merubah bentuk planet ini dengan kawasan tanah yang baharu. Perubahan iklim juga akan berlaku disebabkan gas-gas yang terbebas ke ruangan atmosfera ekoran letusan gunung berapi.
Bangunan Akan Runtuh
Infrastruktur buatan manusia, yang tinggi terutamanya akan lebih terkesan. Seperti kehidupan di bumi, bangunan-bangunan juga akan merasa kesan dengan peningkatan graviti, dengan tekanan yang tinggi, ianya berpotensi untuk runtuh pada bila-bila masa. Sekiranya empangan dan grid kuasa turut runtuh, elektrik akan terputus, dan banjir akan melanda, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Bayangkan sekiranya ini terjadi.
Kapal Terbang dan Satelit Akan Jatuh
Kesemua kapal terbang di udara, bersama dengan satelit akan jatuh dari langit kerana gangguan secara tiba-tiba terhadap trajektori pergerakan objek-objek ini disebabkan daya tarikan graviti yang berganda. Tanpa satelit, komunikasi di seluruh dunia akan menjadi terhad, internet akan terputus, dan manusia akan kembali berhubung menggunakan surat.
Bulan Akan Hancur dan Bumi Akan Mempunyai Cincin
Dengan tarikan graviti yang berganda, bumi akan mula menarik bulan dengan daya yang lebih kuat. Sekiranya daya ini terlebih kuat, melebihi suatu had yang dipanggil sebagai Roche limit, maka bulan akan melalui kehancuran, dan serpihan bulan akan berada di luar ruangan angkasa bumi, membentuk cincin seperti planet Zuhal. Tanpa bulan, bumi akan mengalami beberapa kesan lain.
Adakah anda lebih suka saiz bumi yang sedia ada atau mahukan saiz bumi yang lebih besar?
Rujukan:
- livescience.com
- quora.com
- cosmosup.com
✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2jtbcWc
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment