RoS kelaskan penggantungan Muhyiddin kes besar
PUTRAJAYA : Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) mengelaskan kes penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO sebagai kes besar.
Sehubungan itu, RoS telah menugaskan seorang pegawai untuk menyiasat kes penggantungan Muhyiddin itu, yang dirujuk kepada RoS, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden Gabungan Ketua Cabang Malaysia (GKCM), Mohd Solihin Badri selepas pertemuan dengan RoS.
“Dia (Pegawai RoS) akan menjalankan siasatan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan kepada RoS di sini.
Sementara itu, Timbalan Presiden GKCM, Datuk Mohamad Zin Mustapa berkata, penggantungan Muhyiddin itu jelas tidak mengikut perlembagaan parti dan menunjukkan unsur-unsur khianat.
“Malahan beberapa hari sebelum penggantungan beliau (Muhyiddin), terdapat individu dalam UMNO yang telah mengapi-apikan keadaan supaya menggantung Muhyiddin.
“Ini jelas menunjukkan bahawa suara sumbang beberapa tokoh sumbang lebih digunapakai daripada Perlembagaan UMNO sendiri,” katanya.
Mohamad Zin menambah, lebih menghairankan adalah UMNO seakan-akan telah mengikut telunjuk individu-individu terbabit.
“Mengapa Muhyiddin tidak dipanggil oleh Tribunal Disiplin UMNO untuk memberikan penjelasan? Ternyata Perlembagaan UMNO telah menjadi tidak penting lagi,” tegasnya
Sebelum ini, Muhyiddin dalam siri jelajahnya ke seluruh negara mengumumkan beliau akan membawa kes penggantungannya dari jawatan nombor dua parti kepada RoS.
Beliau berkata, penggantungannya dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO secara tergopoh-gapah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 26 Februari lalu, mengumumkan penggantungan jawatan Muhyiddin berkuatkuasa serta merta kerana didakwa gagal menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden.
Bagaimanapun, Muhyiddin percaya tindakan itu kerana beliau mengkritik Najib melibatkan isu 1MDB dan dana RM2.6 billion.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1Yeuquw
Post a Comment