Hidup sengsara dibelasah suami tapi wanita enggan adu polis
KUALA LUMPUR, 18 Jun — Perkahwinan yang dibina sejak 13 tahun lalu umpama neraka bagi seorang isteri selepas kerap dipukul suami yang panas baran.
Mahu dikenali sebagai Anis, ibu beranak tiga itu bagaimanapun tidak sanggup melaporkan perkara berkenaan kepada polis kerana bimbang hilang tempat bergantung.
“Kalau saya buat laporan polis, suami kena tangkap dan dipenjarakan. Apa akan jadi pada tiga anak kami yang masih bersekolah?
“Siapa yang akan bayar sewa rumah dan tanggung makan minum kami? Walaupun dia bertanggungjawab dari segi nafkah wang namun sifat panas barannya sukar dikikis,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Anis, 30, berkata dia pernah lebam dipukul suami dan benjol di kepala gara-gara lambat membuka pintu rumah.
Katanya, kesengsaraan itu rela ditanggung daripada membiarkan anak kelaparan akibat diabaikan nafkah.
“Dia mudah melenting dan naik angin bila ditegur. Kadang-kadang lambat menghidangkan makan boleh menyebabkan pinggan terbang ke muka.
“Malah saya dilempang jika anak bergaduh. Saya dituduh tidak pandai kawal anak. Saya pernah berhasrat membuat laporan polis namun bimbang keadaan bertambah parah selain memikirkan masa depan anak,” katanya.
Tambahnya, tiada tempat lain hendak bergantung menyebabkan dirinya sanggup terus menerus didera suami, seorang pemandu treler.
Katanya, apa yang mampu dilakukan kini adalah bersabar selagi terdaya walaupun didera fizikal dan emosi.
“Saya juga bimbang sekiranya dia menceraikan saya, siapa yang akan menyara anak, apatah lagi saya tidak punya saudara mara boleh diharap.
“Walaupun sakit hati dan mengalami tekanan emosi kerana sering ditengking dan dipukul namun saya tetap tidak melawan. Selagi terdaya bersabar, saya bersabar,” dia dilaporkan berkata.
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1UTUc6Q
Post a Comment