Parti menang diingatkan jangan berarak
SUNGAI BESAR: Polis mengingatkan penyokong parti yang memenangi PRK Sungai Besar supaya tidak mengadakan perarakan bagi meraikan kemenangan mereka selepas pengumuman rasmi malam nanti.
Ini kerana kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, tindakan itu dikhuatiri boleh mencetuskan perkara tidak diingini selain menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong parti yang kalah.
“Jika mereka hendak meraikan kemenangan, mereka boleh berbuat demikian di dalam Dewan Sri Bernam, tempat penjumlahan undi dibuat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Abdul Samah turut memuji perjalanan kempen dan pengundian di PRK Sungai Besar yang disifatkan antara yang paling aman.
Tambahnya, kematangan rakyat dalam berpolitik adalah faktor utama tempoh berkempen pada PRK kali ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Diharapkan keadaan ini kekal sehingga pengumuman keputusan malam nanti,” katanya.
Mengenai perjalanan proses mengundi hari ini, Abdul Samah berkata, setakat ini ia berjalan lancar dan seramai 4,546 anggota polis dikerahkan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sehingga pengundian berakhir 5 petang ini.
Katanya, sejak hari penamaan calon 5 Jun lalu sehingga 1 petang tadi sebanyak 21 laporan polis diterima antaranya melibatkan kesalahan membakar dan menconteng poster, menaikkan papan iklan berbau fitnah, mencuri dan mengadakan ceramah tanpa permit.
Keputusan PRK itu yang dijalankan serentak dengan PRK Kuala Kangsar dijangka diumumkan selewat-lewatnya 9 malam nanti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seramai 42,365 pengundi layak mengundi di PRK Sungai Besar, selepas 265 daripada 286 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka pada Selasa lalu.
– BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1tuVZX8
Post a Comment