Jeritan pemilik rumah halang aksi pecah rumah 4 lelaki bertopeng di Taman Menggeris, Petra Jaya
KUCHING: Tindakan bijak dan pantas seorang pemilik rumah menjerit meminta tolong menyelamatkan pengawal rumahnya daripada ditawan empat penyamun bersenjata, selain mengelakkan rumah banglonya disamun awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden berlaku pada jam 2.55 pagi di Jalan Menggeris, dekat sini.
“Mangsa, seorang lelaki Melayu berumur 45 tahun merupakan seorang usahawan restoran di sini.
“Ketika kejadian, mangsa dan isteri berada di bilik tidur utama, apabila isterinya mendapati beberapa penyamun berada bahagian garaj rumah.
Kata Abang Ahmad, sekumpulan empat lelaki yang bersenjatakan tiga bilah parang dan satu tuil besi dipercayai cuba memecah masuk ke rumah berkenaan.
“Ketika itu, mereka yang menggunakan topeng bagi melindungi identiti telah bertindak menawan pengawal rumah berkenaan .
“Menyedari keadaan itu, mangsa segera membuka tingkap dan menjerit meminta pertolongan, keempat-empat suspek melarikan diri.
Jeritan itu kata Abang Ahmad, menyebabkan suspek tidak sempat memasuki rumah pengadu.
“Tiada sebarang kecederaan dan kerugian dicatatkan,” katanya lagi.
Polis katanya, masih melakukan siasatan rapi dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan merompak.
Abang Ahmad berkata, semua warga bandar raya ini harus bertindak bijak apabila berhadapan dengan insiden seperti ini.
“Selain memasang kunci dan pintu keselamatan tambahan atau memasang sistem litar tertutup, orang ramai perlu menyimpan telefon bimbit berdekatan dengan tempat tidur dan menyimpan nombor balai polis terdekat, nombor kecemasan 999 atau nombor pusat sehenti IPD Kuching 082244444 untuk tindakan segera pihak polis,” katanya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment