Telefon Samsung berasap dalam pesawat, penumpang cemas
SINGAPURA: Sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 2 yang disimpan di dalam bagasi atas kepala sebuah pesawat dari sini ke India dilaporkan berasap ketika dalam penerbangan pada Jumaat.
Menurut laporan Dailymail, telefon tersebut dibawa seorang penumpang dan ketika kejadian, anak kapal mengambil telefon terbabit yang diletakkan di bahagian bagasi atas kepala dan menembak pemadam api ke arahnya.
Satu kenyataan syarikat penerbangan itu berkata: “IndiGo mengesahkan beberapa penumpang yang menaiki pesawat 6E-054 dari Singapura ke Chennai terhidu bau asap dari ruang kabin pagi ini dan segera memaklumkan kepada kakitangan kabin.”
“Kru kabin mendapati asap itu datangnya dari telefon Samsung Note 2 yang diletakkan di dalam bagasi salah seorang penumpang yang disimpan di bahagian menyimpan barang,” tambahnya.
Telefon tersebut kemudian direndam di dalam air, menurut kenyataan IndiGo.
Sementara itu, pihak Samsung menyedari kejadian tersebut dan berjanji akan menyiasat kejadian berkenaan dengan pihak berkuasa tempatan.
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment