Hi! Welcome Back and Stay Tune! Najib Mahu Puteri UMNO galas amanah perkasa wanita muda - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Najib Mahu Puteri UMNO galas amanah perkasa wanita muda

KUALA LUMPUR; Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Puteri UMNO menggalas tanggungjawab untuk menyakinkan generasi muda bahawa wadah perjuangan parti itu adalah yang terbaik untuk mereka dan negara.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata satu lagi tanggungjawab penting yang perlu digalas pergerakan itu ialah menyediakan wanita bagi menghadapi cabaran masa depan.

“Saya selaku Presiden UMNO mahu supaya Puteri UMNO terus berjuang bersungguh-sungguh supaya generasi muda, wanita muda akan mengganggap bahawa wadah perjuangan yang paling baik untuk mereka dan negara adalah wadah perjuangan yang dipelopori oleh parti UMNO dan Barisan Nasional,”

“Maknanya, ini tugas Puteri…menyakinkan generasi muda agar faham mengapa wadah kita adalah terbaik, mengapa kita ada agenda pembangunan transformasi, kenapa belah sana hanya main politik kebencian, politik memburukkan orang lain, tetapi mereka tidak ketengahkan agenda mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Wanita Muda anjuran Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Najib berkata kerajaan sebaliknya mempunyai perancangan dan agenda yang lebih baik untuk pembangunan negara.

“Bila memburukkan orang lain itu senang walaupun itu dosa yang besar tetapi pada kita, mesti fikir memburukkan orang lain itu tidak membawa ke mana-mana. Kita mempunyai agenda yang lebih baik demi pembangunan negara,” katanya. Selain itu, katanya golongan wanita juga perlu dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Kita mesti menyiapkan generasi muda, maknanya kita melangkaui soal politik, kita lebih idealisme daripada soal nak mendapatkan undi sahaja.

“Tetapi tugasan kita menyediakan wanita muda menghadapi segala cabaran masa depan dengan kita memberi kekuatan ilmu, kerohanian, kemahiran insani, kepimpinan, rangkaian dan segala-galannya kita sertakan untuk melahirkan generasi muda yang sahut cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kejayaan beberapa ikon wanita muda sejak dahulu hingga kini boleh dijadikan inspirasi bagi melahirkan lebih ramai ikon wanita termasuk dalam kalangan wanita muda.

Beliau berkata kejayaan atlet paralimpik negara meraih tiga pingat emas dan satu gangsa dalam temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini wajar dijadikan contoh bagi golongan wanita muda mencapai kejayaan.

“Semasa saya dan isteri menerima kontinjen Paralimpik Rio dua hari lepas, saya lihat mereka ini ada kekurangan dan semua itu takdir Ilahi.

“Tetapi, mereka tidak ada sikap untuk hidup dalam keadaan merasakan mereka ditimpa musibah sehingga mereka rasa mereka dalam keadaan ‘self sympathy’ pada diri dan anggap mereka tidak berguna kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata sikap positif dan keazaman untuk berjaya telah membawa atlet paralimpik itu mencapai impian mereka.

Selain itu, Najib turut menekankan bahawa wanita seharusya diberi ruang dan peluang yang adil dan saksama mengikut merit dan kebolehan mereka.

“Wanita tidak mahu diberi peluang kerana belas kasihan, wanita tidak mahu diberi tempat kerana simpati, wanita tidak mahu bergantung kepada kebajikan dan subsidi tetapi mahu kepada peluang yang adil dan saksama.

“Ini kerana, apabila diberi peluang kepada wanita, saya percaya mereka mempunyai kebolehan untuk berjaya dalam semua lapangan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah menyusun pelbagai strategi dan dasar bagi membuka lebih peluang kepada golongan itu antaranya Dasar Wanita Kebangsaan, dasar 30 peratus penyertaan wanita pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta selain pelbagai bantuan pinjaman kepada usahawan wanita termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

“(Sebanyak) 2.5 juta usahawan wanita sudah kita bantu selama ini dan wanita menunjukkan kecemerlangan membayar balik 96 peratus (pinjaman), ini kejayaan kita. Dalam sektor awam, 34 peratus dalam Jusa C ke atas adalah wanita. Kementerian lain pun ada ramai wanita,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berharap penyertaan lebih ramai wanita dalam sektor swasta terutama dalam syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham.

Festival Wanita Muda yang berlangsung sehari itu menyajikan aktiviti serta program bermanfaat seperti forum dan perbincangan berkonsepkan ‘town hall’ mengenai pelbagai topik selain program peluang pendidikan dan kerjaya serta pendaftaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).-Bernama



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.