PAS akan lawan UMNO di mana-mana kerusi pada PRU-14
KUALA LUMPUR: PAS berkata, parti itu tidak akan bergabung dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang (PRU) bahkan ia akan melawan Umno di mana-mana kerusi yang ditandinginya.
Menurut Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, pendirian jelas PAS ini sudah diketahui, difahami dan diterima oleh ahli-ahli PAS dan orang awam khususnya dalam kalangan kaum Melayu dan beragama Islam.
“Sikap PAS terhadap pelbagai pihak termasuk Umno BN serta Kerajaan pula yang berasaskan kepada ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)’ juga mendapat reaksi positif dan sokongan oleh rakyat bervariasi kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Propaganda “PAS gabung Umno” telah berulang kali dinafikan oleh PAS khususnya menerusi penegasan oleh Majlis Syura Ulamak dan Presiden PAS.
Beliau berkata, berita bertajuk Umno-PAS cooperation to win power in Selangor: a pact not to fight each other yang disiarkan di akhbar Nanyang Siang Pau pada 18 September 2016 tempoh hari adalah sama sekali tidak berasas dan tidak benar.
“Kenyataan berspekulasi pemimpin DAP, Liew Chin Tong yang cuba membenarkan laporan yang tidak bersumber itu dilihat sebagai suatu tindakan melancarkan persepsi negatif bagi meragukan keyakinan orang awam dan memecahbelahkan sokongan kaum Melayu terhadap PAS setelah DAP semakin tidak diterima akibat keterlaluan dalam “menunjukkan” penentangan terhadap Islam dan pelaksanaannya di negara ini,” ujarnya.
“Suka saya tegaskan bahawa bukannya pendirian dan sikap politik PAS yang tidak jelas, sebaliknya cara dan matlamat berpolitik DAP-lah yang sudah tidak lagi relevan. Kenyataan berasaskan persepsi dan propaganda jahat bukanlah cara yang sihat dalam berpolitik,” tambahnya.
Namun, menurut Nasrudin, adalah amat dikesali apabila cara itu masih diguna pakai sebahagian pimpinan DAP bagi melaraskan peluru “dendam” terhadap PAS.
“Sampai bilakah rakyat harus dididik dengan cara berpolitik sebegini?,” tegasnya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment