TMJ: Bukan mahu berlagak atau angkuh
KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkata, bukan disebabkan angkuh atau mahu berlagak, tetapi mengakui baginda orang paling sesuai untuk mengubah bola sepak tanah air. “Bukan mahu cakap besar, tetapi saya tahu saya mempunyai formula dan formula itu berjaya dalam JDT,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.
“Sekiranya saya mengambil alih skuad kebangsaan, mereka pasti boleh lakukan perkara yang sama sepertimana JDT tetapi bukanlah terus menang,” ujarnya.
Namun, katanya, kalaupun baginda mengambil alih kepemimpinan FAM, baginda mengakui sekurang-kurangnya empat tahun diperlukan untuk mengubahnya.
“Secara realistiknya banyak kelemahan dalam FAM untuk tempoh 30 tahun,” katanya.
TMJ berterus terang, dan mengatakan bahawa baginda terjebak dalam dilema setiap kali ditanya mengenai baginda menjadi presiden FAM.
“Saya suka apabila saya sampaikan sesuatu bukan datang daripada mulut tetapi hati saya,” katanya.
“Saya macam 50/50 kerana saya tahu perubahan yang saya dapat lakukan. Tetapi dalam masa sama saya tidak mahu. Hanya penyokong JDT saja yang menghargai perubahan yang saya buat.
“Tetapi orang lain yang rasa macam dah pandai sangat, terutama dalam laman web ‘lain-lain’. Saya rasa kenapa tidak lantik mereka saja untuk menguruskan pasukan bola sepak tanah air, kenapa perlu saya pula?,” katanya.
TMJ bagaimanapun berkata baginda tidak boleh berbuat demikian untuk pasukan kebangsaan kerana komitmennya di Johor dan hanya boleh membantu memberikan pandangan.
TMJ berkata baginda masih mahu menumpukan perhatian kepada JDT kerana banyak lagi tugasan yang belum selesai seperti bersaing di pentas ACL, menyiapkan stadium dan akademi baharu. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment