Apa Terjadi Bila Ditanya Anak Pelarian Rohingya Tentang Cita-cita?
COX’S BAZAAR: Memasuki pusat pengumpulan bantuan di kawasan Balukhali, Bangladesh bagai memasuki sebuah ladang ternakan.
Banyak bangsal dan guni kelihatan di kiri dan kanan.
Suasananya meriah daripada biasa ketika sukarelawan dari Malaysia tiba dengan menaiki bas sambil diiringi pihak tentera.
Mereka memandang beramai-ramai, ada yang senyum dan ada yang berebut-rebut untuk berada di depan cuba memahami apa yang berlaku.
Baju mereka kusut masai, kain pelikat paras lutut, rambut tidak terurus serta gigi kemerahan disebabkan budaya makan sirih.
Bila dipandang dalam-dalam, setiap mata yang memandang jelas terpancar wajah kesengsaraan dan kesedihan yang terpaksa dilalui mereka.
“Haipp!!!! Haippp!!!” Jerit salah seorang askar bertugas menghalau kumpulan pelarian yang cuba mendekati rombongan Misi Food Flotilla for Myanmar (FFFM).
Pasukan sukarelawan dan media seramai 25 orang terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai di kem pelarian yang baru dibina di sini.
Sesampainya di lokasi, kelihatan beberapa ‘bangsal’ dari bawah sehingga atas bukit yang ditarah persis ladang kelapa sawit.
Dalam keramaian manusia yang hadir menyambut ketibaan rombongan sukarelawan FFFM, ada seorang kanak-kanak yang hanya melihat dari kejauhan.
Berbaju kemeja-T jingga, kain pelikat coklat yang bertompok-tompok dengan kotoran lumpur dia hanya melihat kanak-kanak yang berebut cuba mendapatkan gula-gula yang diedar sukarelawan.
“Tomar naam kee? (Siapa nama kamu?),” tanya Miejanurrahman, sukarelawan Agensi Migran Antarabangsa (IOM) yang turut bersama Astro AWANI,di sini.
“Muhammad Arafat Hussein!” jawabnya ringkas.
Kanak-kanak berusia 11 tahun itu seolah-olah takut, tetapi tetap kekal berdiri di sebelah deretan ‘rumah’ yang berdindingkan plastik hitam serta rantingan kayu bagi menyejukkannya.
Kami cuba berbual tentang pengalamannya datang mendapatkan suaka di Bangladesh dengan kekangan bahasa sambil cuba dibantu Miejanurrahman.
“Saya datang bersama ibu, ayah dan empat adik yang lain. Dulu kami tinggal di perkampungan dekat Maung Daw, Myanmar.
“Abang saya kena tangkap dengan tentera Myanmar, sampai sekarang saya tak jumpa dia,” kata Arafat sambil mengulum gula-gula yang diberikan kepadanya.
Menurut UNHCR, sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak pelarian Rohingya tidak mendapat sebarang pendidikan formal sejak 2010.
Arafat merupakan salah seorang daripadanya yang telah mengakibatkan naluri kanak-kanaknya terbantut.
Ketika ditanya cita-cita dan harapan, Arafat seperti keliru, malah tidak faham akan perkataan tersebut biarpun diberitahu dalam bahasa tempatan.
Sambil matanya terkebil-kebil memikirkan jawapan paling baik tentang persoalan itu, Arafat terdiam selama hampir seminit sebelum mengeluarkan kata-kata.
“Saya mahu berada di kedudukan yang baik dengan gaji yang cukup untuk saya hidup,” katanya dalam nada bersalah selepas ditanya dan diterangkan beberapa kali mengenai cita-cita.
Kem pelarian Rohingya di Balukhali, Ukhiya baru dibina kira-kira 45 hari lepas.
Setakat ini lebih 5,000 pelarian tinggal di kem tersebut yang mengharapkan sepenuhnya bantuan luar untuk terus hidup.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lgKjEZ✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment