Pengusaha Kafe Siber Ditahan Bawa 5kg Syabu Di Tawau
Spread the love
TAWAU – Polis menahan seorang pengusaha kafe siber dari Selangor dan merampas lebih lima kilogram dadah jenis syabu bernilai RM350,000 di balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata suspek berusia 46 tahun itu ditahan berdasarkan maklumat hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah dan polis Tawau, pada pukul 10.45 pagi.
Katanya, suspek, yang baru tiba dari Kuala Lumpur itu, dibawa ke Balai Polis Lapangan Terbang Tawau untuk diperiksa.
Selepas pemeriksaan, polis menemukan dadah jenis syabu seberat 5.071kg dalam dua kotak yang disembunyikan di dalam bagasi pakaian yang dibawanya, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, suspek berkenaan memiliki dua rekod jenayah lampau pada tahun 2012.
Fadil berkata suspek yang turut positif dadah jenis Methamphetamine ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.
Beliau percaya ada sindiket dadah tempatan yang menunggu ketibaan suspek.
Dalam perkembangan lain, katanya, mangsa terakhir tragedi bot karam di perairan Batu Payung, dekat sini, 7 Feb lepas, Joko Rahaman, 35, dipercayai selamat dan berada di Sungai Nyamuk, Indonesia.
Ini berdasarkan siasatan terhadap juragan dan pembantu juragan bot karam itu, katanya.
Dalam kejadian 6 petang itu, 10 mangsa meninggal dunia dan empat terselamat.
Bot laju dinaiki 15 warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan dari jeti Tinagat Batu Payung ke Sungai Nyamuk. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment