Negeri Sembilan Kekal Pendahulu Liga Perdana
Spread the love
KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana selepas menang tipis 3-2 ke atas pencabar terdekat, Terengganu pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Rusa melebarkan rekod kemenangan kepada empat perlawanan untuk mengumpul 12 mata.
Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Bruno Suzuki pada minit ke-23, Marko Simic pada minit ke-27 dan Muhammad Izuan Salahuddin pada minit ke-74 manakala dua gol Terengganu disumbangkan oleh Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-53 dan Issey Nakajima-Farran pada minit ke-80.
Johor Darul Ta’zim II pula melonjak tiga anak tangga ke kedudukan kedua liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru hasil jaringan Muhammad Hadi Fayyadh pada minit ke-49.
Wakil Perak, Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pula naik satu anak tangga ke kedudukan kelima liga selepas menewaskan Perlis 2-1 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Dua gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Vincent Lucas Weijl pada minit ke-19 dan minit ke-78 sebelum Perlis merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti disempurnakan pemain import dari England, Brandon Lea Adams pada minit ke-61.
Kekalahan ketiga daripada lima perlawanan itu nyata mengundang kemarahan segelintir penyokong skuad Singa Utara yang berkumpul di hadapan stadium bagi menuntut jurulatih Perlis, Razip Ismail meletakkan jawatan namun berjaya dileraikan beberapa anggota keselamatan yang bertugas.
Turut meraih tiga mata penuh adalah Kuantan FA yang menewaskan MISC-MIFA 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Tiga gol skuad ‘The Seagulls’ dijaringkan oleh Abdul Malik Mat Ariff pada minit kedua dan minit ke-41 serta gol daripada Khairul Azman Awang Long pada minit ke-46 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Bodric Dimitri pada minit ke-50 dan Michael Chukwubunna Ijezie pada minit ke-66.
Dalam pada itu, UiTM FC itu melakar kemenangan pertama selepas menang selesa 3-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Tiga gol UiTM FC dijaringkan oleh Do Dong-hyun pada minit ke-39 dan minit ke-56 serta Akani Sunday Wasiu pada minit ke-65 manakala gol saguhati ATM disumbangkan oleh Venice Elphi pada minit ke-48. – BERNAMA
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment