Iskandar Akui Sangat Kecewa
ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin. – Foto Hasriyasyah Sabudin
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengakui sangat kecewa selepas masih belum pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya sejak Januari lalu.
Situasi itu menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini, selain Terbuka Singapura (11 hingga 16 April).
Pemain 25 tahun itu, berkata dia tidak boleh terburu-buru untuk kembali beraksi selagi kecederaannya belum pulih sepenuhnya kerana enggan mengambil sebarang risiko.
“Kecewa memang kecewa tetapi saya ada sasaran jangka panjang. Jadi, saya perlu memberi fokus terhadap proses pemulihan untuk memastikan kecederaan ini tidak berulang.
“Saya tidak letak sebarang sasaran bila boleh kembali beraksi tetapi saya harap secepat yang mungkin. Kalau boleh saya mahu beraksi mewakili Malaysia pada Sukan SEA nanti,” kata Iskandar.
Iskandar mengalami kecederaan belakang ketika melakukan persiapan menghadapi saingan Malaysia Masters di Sibu, Januari lalu, yang turut menyaksikan dia gagal memperbaiki pencapaian muncul naib juara pada edisi tahun lalu.
BH Sukan semalam melaporkan hasrat Iskandar untuk membuat penampilan pertama musim 2017 pada saingan Terbuka Malaysia sekali lagi tertangguh selepas terpaksa menarik diri susulan kecederaan belakang dialaminya belum pulih.
Jurulatih perseorangan, Hendrawan memaklumkan nama pemain itu tetap disenaraikan bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan akan menunggu sehingga tarikh pengesahan pemain sebelum membuat keputusan.
Kali terakhir Iskandar beraksi di pentas antarabangsa adalah Terbuka Macau, November tahun lalu.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2nIA7oD✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment