#SPM2016: Pelakon Adiwiraku Dapat 'A' Subjek Bahasa Inggeris
PELAJAR SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Nur Irdina Tasnim Ishak yang memegang watak ‘Irdina’ dalam filem Adiwiraku memperoleh keputusan cemerlang mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM.
Nur Irdina yang memperoleh empat ‘A’ dalam SPM berkata beliau terkejut apabila mendapat tahu memperoleh A+ untuk subjek Bahasa Inggeris.
Ia kerana walaupun Nur Irdina tahu telah melakukan yang terbaik dalam subjek itu, namun timbul juga keraguan akan keputusan yang bakal diterima.
“Saya tak sangka dapat ‘A+’ dalam Bahasa Inggeris. Walaupun Bahasa Inggeris merupakan kelebihan saya di sekolah, namun wujud juga rasa takut,” kata Nur Irdina apabila dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
Apabila ditanya tentang cabaran yang dilaluinya untuk berlatih atau berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di persekitarannya, Irdina berkata dia sering dipandang sinis seolah-olah ia merupakan satu perkara yang pelik.
“Apabila saya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan rakan-rakan baik, saya sering dipandang serong. Ada juga yang tanya kenapa saya ‘speaking’?”
Bagaimanapun, Nur Irdina tidak pernah putus asa atau kisah dengan apa yang diperkatakan orang lain kerana dia tahu ia adalah untuk kebaikan dirinya.
Tambah Nur Irdina yang menetap di Kedah, pelajar-pelajar di luar bandar juga jarang bertutur dalam bahasa Inggeris, sehingga ketika pembelajaran mata pelajaran itu ada yang bercakap bahasa Melayu.
Menurutnya, persekitaran sebegini menyukarkan lagi keadaan kerana tidak ada pelajar yang mengambil insiatif untuk meningkatkan kefasihan mereka dalam bahasa itu.
Nur Irdina mengaku meluangkan banyak masa dengan membaca novel dan menonton filem Inggeris untuk menguasai bahasa itu.
“Ibu bapa saya sangat menggalakkan. Mereka sering belikan novel Inggeris untuk saya.
“Selain belajar di sekolah, saya juga membuat latihan tambahan. Kalau bukan diri sendiri, siapa lagi yang nak bantu kita,” ujarnya.
Dia juga berpendapat pelajar-pelajar di luar bandar perlu didedahkan dengan latihan kemahiran yang kritis untuk mengasah kreativiti mereka.
“Kelas pengajaran perlu lebih seronok, kalau tidak pelajar cepat bosan,” cadang pelajar berusia 18 tahun itu.
Apabila ditanya mengenai penggambaran filem Adiwiraku, Irdina berkata dia pada mulanya risau kerana tidak mempunyai bakat berlakon, namun oleh kerana mereka melakonkan watak diri sendiri, ia menjadi mudah.
“Sesi penggambaran dilakukan pada cuti sekolah pada tahun lepas.
“Apabila kami dipanggil untuk filem ini, saya memang takut, tetapi apabila diberitahu kami hanya perlu memainkan watak sendiri, ia menjadi mudah dan seronok.”
Irdina turut menyatakan bekas guru bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando adalah sebab utama dia lebih yakin dengan dirinya.
“Cikgu Cheryl pastikan kami bertutur dalam bahasa Inggeris ketika pengajarannya dan dia sering memberi peluang kepada kami untuk meluahkan pendapat dan masalah.
“Dulu saya sangat diam. Sekarang, saya lebih yakin.”
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mSHYlX✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment