Tapak arkeologi Guar Kepah dijadikan tapak warisan UNESCO - Lim
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, ia merupakan usaha untuk memelihara dan memulihara tapak penemuan rangka dipercayai milik manusia purba berusia antara 5,000 dan 6,000 tahun iaitu seorang wanita yang kini digelar ''Penang woman''.
"Kerajaan negeri bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Majlis Perbandaraan Seberang Perai, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Jabatan Warisan Negara dari segi kepakaran bagi memastikan semua dokumentasi berkaitan tapak arkeologi itu direkodkan mengikut keperluan UNESCO.
"Kami akan menyerahkan semua maklumat dan dokumen berkenaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk tindakan selanjutnya iaitu permohonan untuk memperoleh pengiktirafan UNESCO," katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Arkeologi Guar Kepah, di sini hari ini.
Rangka yang ditemukan ketika kontraktor dan PPAG menggali tanah untuk meletakkan batu asas pembinaan galeri arkeologi Guar Kepah 17 April lepas itu menyebabkan kerja pembinaan galeri dihentikan serta-merta manakala kerja penggalian untuk mencari artifak di tapak itu diteruskan.Sementara itu, Pengarah PPAG USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata pihaknya menjangka akan menemukan satu atau dua lagi rangka manusia zaman prasejarah Neolitik di kawasan itu berdasarkan beberapa perkembangan hasil kerja-kerja ekskavasi.
"Rangka wanita sepanjang kira-kira 1.5 meter yang ditemukan itu dipercayai berusia 35 tahun ketika mati dan kami masih menunggu keputusan ujian makmal bagi mengetahui punca dia meninggal dan tarikh sebenar usia rangka berkenaan.
"Pasukan saya telah meluaskan kerja ekskavasi iaitu kira-kira 300 meter persegi untuk mencari rangka lain dan kami jangka ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menemuinya," katanya.
Mokhtar berkata rangka wanita itu dipindahkan dari Tapak Arkeologi Guar Kepah itu ke USM hari ini dan ditempatkan di sebuah makmal khusus untuk menjaga struktur tulang agar tidak rosak serta reput sebelum dibawa balik ke galeri arkelologi Guar Kepah yang dijangka siap Oktober ini.
Guar Kepah, tapak bersejarah yang lebih tua daripada Lembah Bujang dan Sungai Batu, Kedah merupakan satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan bukti penempatan manusia zaman dahulu yang dekat dengan kehidupan laut. -- BERNAMA
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2q0lyir✍ Sumber Pautan : ☕ Siakap Keli News
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment