Suspek disyaki bunuh pesara tentera sempat beraya di rumah mangsa sehari sebelum kejadian
MELAKA – Lelaki yang disyaki membunuh pesara tentera, Abdul Rahman Pileh, 60, sempat beraya di rumah mangsa sehari sebelum kejadian.
Ia diceritakan anak mangsa, Mohd Hishamudin Abdul Rahman, 29, yang mendapat tahu perkara itu menerusi anak saudaranya.
Menurut Mohd Hishamudin, ibunya, Sabturiah Lakidau, 59, mengenali suspek ketika polis menunjukkan gambar seorang lelaki yang disyaki.
“Menurut jiran, suspek tinggal hanya selang beberapa rumah, sebaris dengan rumah kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Melaka, semalam.
Menurutnya, anak saudaranya ada memberitahu, suspek datang beraya di rumah ibu bapanya itu petang sehari sebelum kejadian.
Pensyarah di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Alor Setar itu berkata, arwah bapanya sepatutnya datang mengambilnya di Stesen Bas Melaka Sentral, di sini, jam 8 malam pada malam kejadian.
“Saya dari Alor Setar naik kapal terbang terus ambil bas untuk ke Stesen Melaka Sentral pada jam 5.25 petang dari KLIA. Ini memang rutin saya setiap minggu.
“Tapi, selepas tunggu sampai 8.25 malam, ayah tak sampai-sampai. Biasanya dia datang tepat pada masanya.
“Lepas tu, jiran hubungi saya pakai telefon ayah beritahu mak dan ayah cedera parah. Saya ingatkan mak dan ayah kemalangan, rupanya rumah kami disamun.
“Masa itu, saya harap keadaan mereka tak apa-apa, tapi ayah meninggal dunia” katanya.
Sementara itu, menurut Mohd Hishamudin, ibunya kini sedang menjalani beberapa prosedur rawatan akibat kecederaan dialami.
“Masa jam 6 pagi tadi (semalam), emak masih lagi dalam bilik pembedahan tapi keadaan dia stabil,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia banyak meluangkan masa memastikan bapanya yang menghidap masalah buah pinggang dapat pulih dan sentiasa bersemangat.
“Alhamdulillah, dia macam ada harapan. Dia harap saya bawa jalan-jalan, semuanya saya jaga baik. Tapi tiba-tiba ada orang tikam mati dia. Kalau dia mati disebabkan sakit, saya tak ralat,” katanya.
Menurutnya, dia turut berharap mereka yang melakukan jenayah itu dibawa ke muka pengadilan.
“Ayah saya warga emas, dia dibunuh selepas dialisis, dia amat lemah,” katanya.
Jenazah Abdul Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tumang, Johol, Negeri Sembilan, semalam.
Sumber: Sinar
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2ttaFpR
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment