ALANG-ALANG MENYELUK PEKASAM…
LAPORAN KHAS Di kalangan pemimpin Umno sama ada di peringkat tinggi ataupun di peringkat akar umbi, terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermakna mereka bukan sahaja berisiko kehilangan jawatan, tetapi juga akses kepada kesenangan yang dikecapi.
Begitulah realitinya. Bagaimanapun, ada yang tetap memilih untuk kekal setia kepada Muhyiddin, yang kini mengetuai parti serpihan Umno – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Bagi para penyokong setia ini, mereka terpaksa membayar harga kerana membuat pilihan tersebut.
Antaranya ialah bekas ketua pemuda Umno cawangan Panchor, Hanafi Md Taib (gambar), yang terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baru itu.
Pendapat syarikatnya turun 30 hingga 40 peratus apabila dia keluar dari Umno. Hanafi mengendalikan sebuah syarikat pembinaan.
Bertukar realiti
Hanafi juga dilucutkan daripada jawatannya sebagai setiausaha JPP dan sebagai pengerusi masjid yang dihormati.
Sebagai setiausaha JPP, dia menerima elaun sebanyak RM400 setiap bulan.
“Saya pengerusi masjid, ia dianggap sebagai jawatan besar (di kalangan masyarakat tempatan). Mereka lantik orang baru tapi tak diberi surat pecat,” kata Hanafi kepada Malaysiakini.
Selain kehilangan elaun bulanan dari pelbagai jawatan yang pernah dipegangnya kerana aksesnya sebagai ahli Umno, Hanafi juga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk acara BERSATU.
Tidak seperti acara Umno, penajaan jarang diperolehi, apatah lagi jentera kerajaan.
“Saya terpaksa mengeluarkan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan,” kata Hanafi, yang mempunyai dua orang isteri dan sembilan anak.
Bulan lepas, Hanafi, yang kini menjadi ahli jawatankuasa BERSATU Pagoh, membantu mengatur satu perhimpunan untuk Muhyiddin di sebuah kampung Melayu di Pagoh.
Hanafi, yang bangga berkata, beliau juga membenarkan rumah bapanya digunakan oleh Muhyiddin ketika dia mula-mula mengumumkan penubuhan BERSATU di Pagoh tahun lepas.
“Apabila Muhyiddin memberi ucapannya (di rumah bapa saya). Masa Muhyiddin bercakap, bapa saya dengar. Lepas itu saya lihat hati bapa saya sikit berubah. Lama-lama sampai sekarang bapa sudah faham,” kata Hanafi sambil menunjukkan rakaman video majlis itu di telefon bimbitnya.
Hanafi telah menjadi penyokong kuat Muhyiddin selama lebih daripada 20 tahun, dan walaupun adanya halangan yang dia hadapi, namun dia tetap berhasrat untuk terus menyokong presiden BERSATU itu.
Seorang lagi penyokong setia Muhyiddin, Atiman Kadar, 58, turut berkongsi dengan Malaysiakini bagaimana nasibnya begitu cepat berubah sejak memilih untuk bersama Muhyiddin.
Atiman, yang merupakan ahli majlis perbandaran Muar, telah meletak jawatan sebelum dia dipecat. Dia tahu akan hilang jawatan itu selepas menyertai BERSATU. Tetapi ianya juga bermakna, dia kehilangan RM900 sebulan
“Saya sayang Umno kerana tahu sejarah asal usul Umno tapi (Datuk Seri) Najib (Razak) tidak ikut perlembagaan dalam isu Tan Sri (Muhyiddin),” katanya.
“Tak kan kita sayang tiga juta ahli Umno tapi mengabaikan 30 juta rakyat Malaysia…,” katanya di sebuah kedai kopi di Panchor, kira-kira 10km dari bandar Pagoh.
Sebelum Atiman memegang jawatan sebagai setiausaha BERSATU Pagoh, hidupnya selesa ketika bersama Umno, ketika itu di bawah naungan Muhyiddin.
Atiman dipilih sebagai anggota jawatankuasa Umno Pagoh dalam usia 30-an.
Ketika Muhyiddin mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi pada 1999, Atiman dilantik sebagai koordinator Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk Pagoh.
Disebabkan sejarah perkhidmatannya yang panjang, termasuk sebagai bekas ahli majlis tempatan, Atiman masih dihormati di kalangan masyarakat setempat, seperti yang dapat diperhatikan sepanjang perbualannya dengan Malaysiakini.
Bagaimanapun, rasa hormat mereka terhadap Atiman serta sumbangannya kepada masyarakat setempat, tidak mencukupi untuk menarik mereka beramai-ramai menyertai BERSATU, kerana ramai yang bimbangkan akibatnya.
Buat pertama kalinya, Atiman berkata dia terpaksa mengeluarkan ratusan ringgit setiap bulan dari poketnya sendiri untuk membiayai acara-acara tempatan – sesuatu yang dia tidak perlu lakukan ketika bersama Umno.
“Ketika saya menjadi ketua cawangan Umno, saya ada ramai pelapis, kurang kerja dan ada masa untuk melancong… tetapi sekarang saya perlu bekerja keras,” katanya.
Bagi bekas anggota tentera berusia 59 tahun, Ahmad Othman, dia menyertai politik kemudian disebabkan oleh sekatan dalam tentera.
Beliau menyerahkan borang keahlian Umno pada tahun 2000, sebaik sahaja bersara dari Tentera Udara dan terus dilantik sebagai timbalan ketua cawangan Felda Lenga Sinar Baru.
Ahmad berkata beliau mahu menyertai Umno sejak mengikuti perkembangan Muhyiddin sejak dia masih dalam perkhidmatan tentera lagi.
Jadi, apabila Muhyiddin dipecat dari Umno, pilihan Ahmad adalah jelas. Beliau mengetuai sekurang-kurangnya 150 anggota untuk keluar dari Umno dan menyertai BERSATU, sekaligus melumpuhkan cawangan Umno di situ
“Cawangan Umno di sini terus tutup,” katanya sambil ketawa.
Ahmad tidak risau dengan kehilangan jawatan atau elaun, tetapi dia telah kehilangan kawan-kawan.
“Pencen saya ok… tapi ada orang tak mahu kawan. Itu biasa,” katanya kepada Malaysiakini di Durian Chondong, sebuah kampung yang terletak kira-kira 30 km dari Pekan Pagoh.
Walaupun terdapat halangan, pengikut setia Muhyiddin seperti mereka itu, telah berjaya menembusi Umno sedikit demi sedikit, sejak penubuhan BERSATU pada September tahun lepas.
Bagaimanapun, struktur Umno yang lebih luas, kekal utuh dan dengan kurang daripada satu tahun menjelang pilihan raya umum, Muhyiddin masih perlu berdepan dengan kekuatan Umno di Pagoh.
– M’kini
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2famYTA
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment