SELEPAS RCI FOREX MENIKAM DIRI, BERANIKAH NAJIB TUBUH RCI MEMALI?
Atas keinginan untuk memperlihatkan Tun Mahathir Mohamad juga melakukan banyak kesalahan sewaktu menjadi Perdana Menteri, selain RCI forex yang sedang menjalankan pendengaran sekarang ini, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan RCI bagi tragedi Memali.
Mula dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang mengatakan kerajaan sedia menimbang perkara itu jika ada permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti-parti politik, Najib Razak kemudiannya pada 24 Ogos lalu menyambut positif kemungkinan tersebut dengan tujuan utama, tambahnya, ialah untuk mencari kebenaran mengenai tragedi Memali.
Kerajaan, bagaimanapun katanya, masih menunggu reaksi masyarakat mengenai kemungkinan mewujudkan RCI bagi tragedi berdarah itu yang mengorbankan 14 nyawa, termasuk 4 anggota polis.
Sama seperti sewaktu berlakunya kerugian forex, ketika terjadinya tragedi Memali juga Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri saja. Ketika kerugian forex, Menteri Kewangan adalah Tun Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim, manakala ketika Memali, Menteri Dalam Negeri pada waktu ialah Musa Hitam.
Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB dan didesak oleh banyak pihak agar sedia menubuhkan RCI bagi menyiasat syarikat yang ditubuhkannya itu, terlihat tiada pilihan lain selain menubuhkan RCI forex dan mungkin seterusnya bagi Memali untuk mengelabui wajah hitamnya serta mengalihkan pandangan masyarakat terhadap dirinya yang sebenar.
Melalui RCI forex, selain Najib, jentera propaganda beliau dengan sendirinya tiba-tiba ada modal baru dan kerja tambahan untuk dilakukan bagi terus memperlekehkan Tun Mahathir yang semakin mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.
Melalui RCI Memali pula, meskipun tujuan Zahid Hamidi membangkitkannya barangkali dengan tujuan agar Najib terus bersengketa lebih parah dengan Tun Mahathir, Perdana Menteri dalam masa yang sama tidak mampu menolak kemungkinan ada laba politik di sebaliknya, terutamanya dalam usaha beliau menjinakkan lagi Pas agak kekal dalam dakapan UMNO dan BN.
Apa pun pertimbangan mengenai RCI Memali, sama ada akan diwujudkan atau sebaliknya, mahu tidak mahu ia tentunya bergantung kepada hasil RCI forex terlebih dahulu yang diberi tempoh selama tiga bulan untuk membentangkan keputusannya.
Jika RCI forex berjaya menghasilkan sesuatu yang positif dan melaluinya nama Tun Mahathir dapat diburukkan serta wajah Najib diperlihatkan harum mewangi, tentunya tidak mustahil RCI Memali pula akan menyusul selepasnya.
Namun demikian, tanpa disangka-sangka, RCI forex nampaknya telah mengalami “pancutan awal” berikutan keterangan Nor Mohamed Yakcop yang mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kerugian urusniaga matawang asing itu, selain beliau juga membersihkan Tun Mahathir daripada dikaitkan dengan kerugian tersebut.
Ini membuatkan RCI forex sudah boleh dikatakan anti klimaks jadinya. Tun Mahathir yang disasarkan, tetapi akhirny nama beliau telah dibersihkan oleh Nor Mohamed Yakcop.
Jika dijangka lebih awal Nor Mohamed Yakcop akan membuat pengakuan sedemikian rupa, tentunya mustahil bagi Najib setuju mewujudkan RCI forex.
Tidak berbaloi menubuhkan RCI forex jika hanya kesalahan Nor Mohamed Yakcop yang menjelma. RCI forex ditubuhkan kerana Tun Mahathir, bukan disebabkan Nor Mohamed Yakcop yang sudah diberikan Najib jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional.
Kekecewaan Najib, UMNO dan kerajaan terhadap keterangan Nor Mohamed Yakcop dengan jelas dapat difahami daripada kenyataan Dr. Puad Zarkashi, Ahli MT UMNO yang dijadikan Ketua Pengarah JASA, sebuah agensi propaganda kepada Putrajaya.
Dr. Puad tanpa ragu-ragu mengatakan keterangan Nor Mohamed Yakcop adalah semata-mata untuk melindungi Tun Mahathir kerana kononnya terhutang budi, sambil mendakwa sedia menjadikan dirinya sebagai kambing hitam.
Dalam hal ini, Dr. Puad seperti tidak dapat menerima hakikat bahawa Nor Mohamed Yakcop hanya bercakap adalah berasaskan fakta dan kebenaran. Setidak-tidaknya, bekas Penolong Gabenor Bank Negara itu seharusnya diberikan pujian kerana berani mengatakan kebenaran, di sebalik ia mungkin mengancam kedudukan dan jawatannya sekarang.
Kenapa Dr. Puad tidak dapat menerima kebenaran? Apakah kebenaran di Malaysia ini hanya apabila ia memihak kepada Najib semata-mata?
Kiranya Nor Mohamed Yakcop mementingkan diri sendiri dan mahu membodek Najib, beliau tentu boleh melencongkan fakta dan memperlihatkan seolah-olah Tun Mahathir atau Anwar bersalah dalam kerugian forex itu.
Agaknya jika begitu nada keterangan Nor Mohamed Yakcop tempohari, mungkin melimpah ruah pujian dan sanjungan daripada Dr. Puad terhadapnya.
Dalam keadaan sekatang, oleh kerana Nor Mohamed Yakcop adalah individu utama dan paling penting di sebalik urusniaga dan kerugian forex, selain keterangannya sudah menjadikan keadaan sebagai anti klimaks, sasaran asal ditubuhkan RCI juga seolah-olah sudah menikam diri sendiri.
Tak ubah umpama kancil yang mahu diburu, kaki sendiri yang ditembusi peluru.
Lalu, beranikah Najib mewujudkan RCI untuk Memali?
– http://ift.tt/1Ka9Gf1
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2gS5ewm
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment