Syor Kenakan Caj Kepada Kapal Lalui Baraj Di Sungai Sarawak
KUCHING: Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini mengesyorkan supaya Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) mula mengenakan kutipan caj tol terhadap kapal-kapal yang melalui baraj di Sungai Sarawak di sini, bagi menambah kutipan hasil.
Menurut laporan itu LSS yang dipertanggungjawabkan bagi mengurus dan menyenggara baraj tersebut memberitahu pada September lepas bahawa caj tol tidak dilaksanakan kerana kerajaan negeri menangguh pelaksanaannya atas alasan kelembapan ekonomi, di samping memperuntuk geran tahunan bagi menampung kos operasi, pengurusan dan penyenggaraan baraj sejak operasinya bermula pada tahun 1997.
Baraj bernilai RM164 juta dibangunkan pada November 1997 dengan reka bentuk dari negara Jerman itu merupakan komponen utama Skim Regulasi Sungai Sarawak (SRSS), yang pertama di Asia Tenggara yang menggabungkan fungsi pintu air dengan laluan kapal.
Ia dilengkapi dengan lima pintu air khusus bagi mengawal ketinggian paras air sungai di sebelah hulu struktur baraj dan menahan kemasukan air laut semasa air pasang; sebuah shiplock sepanjang 125 meter, serta sebuah jambatan empat lorong jalan sepanjang 435 meter dan 25 meter lebar.
Menurut laporan itu bagi tahun 2014 hingga 2016, RM26 juta geran kerajaan telah diterima untuk Akaun Amanah Tabung Bendungan Sungai Sarawak, dan sejumlah RM22.77 juta telah dibelanjakan, manakala baki akhir akaun tersebut RM31.43 juta.
Laporan itu turut memaklumkan siasatan audit mendapati tiada kutipan tol dikenakan kepada semua jenis kapal yang melalui baraj berkenaan ketika ini, manakala operasi 'flooding' dan 'flushing' dijalankan melebihi had yang ditetapkan.
Bagaimanapun menurutnya LSS memaklumkan bahawa Julai lepas ia telah membuat kertas kerja yang dimajukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapat kelulusan bagi pengecualian tol bagi semua jenis kapal.
Laporan itu seterusnya mencadangkan supaya LSS memastikan operasi 'flooding in' dan 'flushing out' dilaksanakan mengikut had yang ditetapkan, dan kerja-kerja pembaikan bagi pembentukan lubang kaut di baraj dan gelinciran di bangunan utara baraj dilaksanakan dengan segera.
Sementara itu merujuk kepada pengauditan ke atas Projek Pembinaan Bekalan Air Mukah (BAM) sekitar Ogos lepas, secara keseluruhan pelaksanaan projek didapati baik, tiga daripada empat pakej projek dapat disiapkan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan, dan pengurusan perolehan dibuat mengikut peraturan yang ditetapkan.
Skop kerja bagi projek BAM merangkumi kerja-kerja menaik taraf muka sauk air mentah sedia ada di Tingkas, Bahagian Mukah dan pemasangan 900 mm saluran paip air mentah sepanjang 18.4 km dari Tingkas ke Penakub; menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) sedia ada di Penakub; pemasangan 20.9 km saluran paip air terawat serta stesen pam, tangki takungan air; serta pemasangan 4.5 km saluran paip air terawat dari LRA Penakub ke simpang Kampung Tellian.
Kontrak projek ini diperoleh secara tender terbuka dan ditawarkan kepada empat kontraktor dengan kontrak bernilai RM200.96 juta.
Menurut laporan itu projek BAM dilaksanakan melalui dua fasa, iaitu fasa satu melibatkan kajian kemungkinan yang dijalankan oleh Jurutera Perunding Wahba Sdn Bhd pada tahun 2014 dengan kos sejumlah RM0.5 juta, manakala fasa dua merangkumi empat pakej projek pembinaan.
Peruntukan yang diterima oleh JKR daripada kerajaan persekutuan melalui RECODA untuk projek BAM dari tahun 2013 hingga 2017 adalah sejumlah RM213.60 juta dan perbelanjaan secara keseluruhan setakat bulan Ogos 2017 adalah RM207.31 juta atau 97.1 peratus.
Bagaimanapun menurut laporan itu pengurusan terhadap aspek reka bentuk, kualiti kerja, pengujian dan pentauliahan serta tekanan air di sistem agihan yang kurang memuaskan perlu ditambah baik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan projek.
Laporan itu seterusnya mencadangkan supaya Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak bersama perunding memastikan kehendak syarat kontrak dipatuhi, kualiti kerja berada pada tahap yang baik dan peralatan berfungsi.
Ia juga mengesyorkan supaya proses pengujian dan pentauliahan dilakukan dalam tempoh tujuh hari secara berterusan tanpa gagal sebelum Sijil Siap Kerja dikeluarkan.
-- BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2BqM368
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment