PERANAN KITA DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA
ISLAM menggalakkan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dan bantu-membantu antara satu sama lain sebagai ahli keluarga sendiri. Ini merupakan konsep kehidupan yang perlu dilaksanakan oleh seluruh masyarakat Islam. Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud; “Aku berpesan kepada umatku baik yang hadir mahupun yang tidak hadir, mahupun yang kini mereka masih berada dalam tulang sulbi ayah atau rahim ibu mereka hingga hari kiamat, hendaklah mereka menjalin silaturahim dengan sanak-saudara dan kerabat mereka, kerana silaturahim merupakan sebahagian dari agama.”
Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak-anak, semuanya tanggungjawab suami. Untuk itu, ilmu di dada mestilah penuh, daya tahan iman yang utuh, dan stamina amal yang teguh selain menuntut kemahiran dan kesabaran dalam mendidik. Apakah kita tidak mengimpikan untuk menjadi suami mithali yang mengikuti acuan Nabi Muhammad SAW? Menyedari hakikat ini, beberapa kewajipan perlu diambil berat dan dilaksanakan oleh para ketua keluarga. Menginginkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni adalah impian semua manusia. Pertama, adalah dengan memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas aqidah Islam. Suami seperti imam bertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). ( Surah at -Tahrim, ayat 6) .Sebagai seorang ketua keluarga mereka perlulah mempamerkan contoh atau teladan yang baik dalam keluarga untuk didikuti dan dicontohi oleh anak-anak dan isteri serta menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah.Namun, pada hari ini, kita sering melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak kian meruncing akibat daripada masyarakat yang kurang menjiwai dan menjaga akhlak sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan Baginda SAW. Oleh itu, dalam mendepani situasi sedemikian tanggungjawab ketua keluarga tidak boleh dipandang enteng dan sangat besar dalam menjadi Qudwah Hasanah atau contoh yang baik bagi menjamin kebahagiaan dalam institusi keluarga.
Seterusnya, sebagai ketua keluarga, seseorang bapa atau suami tersebut mestilah berusaha sedaya upaya mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan isteri . Setiap makanan dan minuman yang diberikan kepada anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging. Jika makanan itu diperolehi daripada sumber yang tidak halal sama ada makanan tersebut sendiri yang tidak halal atau dibeli dengan cara yang tidak halal maka ia akan merosakkan jiwa kita, anak-anak dan isteri. Ia juga akan memberi kesan kepada pembentukan akhlak anak-anak. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi ketua keluarga menjaga punca rezeki serta makanan mereka supaya cahaya keimanan mudah masuk ke dalam hati sanubari dan terpelihara daripada azab neraka.
Anak-anak diibaratkan seperti kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak mereka. Ini bermakna ibu bapa harus bertindak sebagai teraju utama dalam membentuk sahsiah anak-anak yang merupakan asas dalam pembinaan masyarakat penyayang. Ketua keluarga juga harus memperuntukkan masa untuk bersama ahli keluarga kerana ia adalah amat penting dalam institusi rumah tangga. Masa dianggap sebagai penting untuk kita mengambil berat tentang anak-anak agar mereka tidak merasa kesunyian ketika mereka mengahadapi masalah dalam perlajaran, persekitaran dan sebagainya. Suami juga mesti meluangkan masa yang sebaiknya untuk isteri dengan berbincang masalah yang timbul dalam rumahtangga agar masalah berkenaan mampu diselesaikan dengan baik.
Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak . Bayangkan jika seorang ayah tiada rasa cInta pada anak , mereka akan melihat anak tersebut umpama kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menyifatkan anak sebagai beban yang menyusahkan. Dalam hal ini, sebagai ketua keluarga , cubalah berkongsi pengalaman dan membina kasih sayang dengan memhami dan membimbing kemahuan mereka. Bantulah mereka dengan mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka.Marilah kita menanamkan azam dan menguatkan tekad untuk menjadi ketua keluarga yang cemerlang yang sentiasa melaksanakan kewajipan terhadap perintah Allah SWT. Kemuncak kebahagiaan dalam berkeluarga ialah apabila setiap anggotanya membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian. Bukan mudah untuk mencapainya, namun yang dituntut itu adalah usaha kita. Ambil masa dan marilah kita renung sejenak firman Allah SWT yang bermaksud “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga), dan kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.(Surah At- Tur, ayat 21).
SUMBER: IKIM
✍ Sumber Pautan : ☕ Islam Itu Indah
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2Bl9eCw
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment