Hi! Welcome Back and Stay Tune! Kisah Ota Benga : Manusia Malang Yang Dipaksa Hidup Seperti Haiwan Zoo - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Kisah Ota Benga : Manusia Malang Yang Dipaksa Hidup Seperti Haiwan Zoo

ota benga manusia ditempatkan dalam zoo haiwan

Negara yang kita kenali dengan nama Congo ketika ini, satu masa dahulu adalah satu kawasan tidak diterokai. Hutan tebal diapit sungai-sungai berbahaya membuatkan eksplorasi di kawasan tersebut sukar dilakukan.

Hanya pada hujung abad ke 19, raja Belgium, Raja Leopold II, mengarahkan eksplorasi-eksplorasi dilakukan di kawasan itu yang mereka gelarkan dengan nama Congo Free State. Tujuannya adalah untuk mendapatkan peta kawasan tersebut selain daripada cuba menguasai sumber terbesar yang ada di situ - getah.

Tindakan Raja Leopold II menjadikan Congo Free State sebagai salah satu koloni Belgium membuatkan hidup masyarakat asal yang tinggal di sana terseksa. Ramai di antara mereka dijadikan buruh paksa, sesiapa yang enggan akan dihukum seksaan atau lebih teruk, dibunuh.

Dianggarkan seramai hampir 10 juta orang Congolese, suku etnik yang menetap di dalam kawasan hutan tersebut meninggal dunia semasa pemerintahan King Leopold II.

Ota Benga lahir pada tahun 1883 ketika masyarakatnya hidup dalam keadaan ketakutan setiap hari. Siapa sangka berbanding dengan saudara-maranya yang lain, perjalanan Ota akan membawanya lebih jauh.

Sejarah awal Ota Benga

inilah susuk tubuh bernama ota benga

Tidak diketahui bila tarikh lahir sebenar Ota. Dia membesar dalam suku yang digelarkan Mbuti, yang hidup secara nomad bergantung kepada musim. Keluarganya mempunyai ahli sekitar 20 orang yang sentiasa berpindah randah mencari hasil hutan dengan tiada kediaman tetap.

Ditakdirkan berkahwin dalam usia muda, Ota mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya. Menurut kepercayaan suku Mbuti, itu adalah antara syarat-syarat yang akan membolehkan Ota mengetuai sendiri suku keluarganya satu hari nanti, seperti yang telah diamalkan nenek moyang mereka beratus tahun lamanya.

Impian berkecai sekelip mata

Pada satu hari ketika Ota keluar berburu, keluarganya diserang sekumpulan askar yang ditubuhkan oleh kerajaan Belgium, yang dinamakan Force Publique. Askar tersebut mula menyusup masuk ke kawasan tersebut berikutan pencerobohan tentera Arab dari Zanzibar, yang mahu menjadikan Congo kawasan milik mereka.

Isteri dan anak-anaknya mati dibunuh, tanpa Ota mampu menyelamatkan mereka. Berikutan tragedi itu, Ota tinggal keseorangan tanpa keluarga. Menurut tradisi Mbuti, seseorang itu perlu hidup bersendirian selagi tidak ada mana-mana keluarga mengambilnya menjadi ahli dalam kumpulan mereka.

Merayau-rayau di hutan sendirian, Ota terserempak dengan sekumpulan pedagang manusia yang menangkapnya dan merantainya.

Memulakan hidup baru

ota benga manusia yang dijadikan haiwan peliharaan

Ota dipaksa meninggalkan hutan kawasan dia tinggal selama ini, menjadi pekerja buruh di sebuah kampung yang mengamalkan pertanian. Semasa bekerja di sinilah Ota bertemu dengan seorang warga Amerika Syarikat bernama Samuel Verner. Samuel adalah seorang ahli perniagaan yang ditugaskan untuk mendapatkan bahan pameran bagi acara St. Louis World's Fair.

Pihak penganjur merancang untuk mengadakan pameran berkisar tentang 'evolusi budaya' di mana pengunjung dapat melihat sendiri perbezaan hidup di antara masyarakat Amerika Syarikat ketika itu, dengan masyarakat primitif yang berada di sekitar dunia.

Melihat rupa Benga yang kerdil dengan ketinggian 4 kaki 11 inci serta giginya yang tajam kerana diasah mengikut tradisi puak Mbuti, Samuel tahu Ota adalah bahan pameran terbaik untuk dibawa pulang. Perbincangan dengan pihak yang menangkap Ota tidak sukar. Ota ditukar dengan satu kati garam serta beberapa helai kain menjadi milik penangkapnya lalu Samuel menjadi tuan baru Ota.

Ota dan rakan menjadi bahan pameran

ota benga dan rakan rakan beliau

Ota bersama beberapa orang lain yang senasib dengannya di bawa ke St.Louis, Missouri pada tahun 1904. Mereka ditempatkan dalam replika hutan yang dibina seiras dengan tempat asal mereka, dipakaikan pakaian etnik mereka lalu dibiarkan melakukan apa saja yang mereka suka dalam keadaan terkurung.

Pameran tersebut mendapat sambutan hangat dengan pengunjung hadir beramai-ramai untuk menyaksikan sendiri sekumpulan manusia dari dunia lain yang digelarkan 'manusia kuno.' Walaupun dilihat seperti mengambil kesempatan terhadap Ota, hubungan Samuel dengan Ota semakin lama semakin bertambah baik dengan perasaan ingin tahu Ota membuatkan dia berminat melihat sendiri dunia baru yang baru dia jejaki.

Ota pulang ke kawasannya di Congo dan bekerjasama dengan Samuel meneroka kawasan tersebut. Ota berkahwin semula dengan seorang wanita dari suku Batwa lalu menyertai suku tersebut namun, perkahwinannya tidak lama bertahan. Isterinya meninggal dunia dipatuk ular. Kematian isterinya kali ini membuatkan Ota menjadi renggang dengan suku Batwa membuatkan Ota mengambil keputusan mengikut Samuel kembali ke Amerika Syarikat pada tahun 1906.

Menjadi warga sementara Amerika

ota benga menjadi warganegara amerika syarikat

Samuel tidak ada banyak pilihan dalam memastikan kebajikan Ota terjaga. Ota ditempatkan dalam sebuah bilik kosong di American Museum of National History dan diberikan kerja sementara sebagai bahan pameran di situ.

Ota diletakkan sebagai pameran di dalam bilik kaca, dengan replika hutan menjadi penemannya setiap hari siang sebelum kembali ke biliknya pada waktu malam. Perasaan tertekan yang dialami Ota akibat rutin yang berubah itu mendorongnya melakukan beberapa perkara kasar.

Caj yang dikenakan oleh Samuel terhadap pihak muzium dikatakan terlalu tinggi untuk terus dikekalkan, jadi Ota terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Samuel yang tidak ada banyak pilihan lain terpaksa meletakkan Ota di Zoo Bronx, sebagai pekerja am.

Tapi jalan hidup Ota memang sukar.

Diletakkan dengan monyet sebagai hiburan pengunjung

ota benga dan orang utan

Bekerja sebagai pekerja yang menyelenggara sangkar dan kawasan kurungan haiwan, Ota banyak kali perlu melakukan kerjanya di hadapan orang ramai yang melihat. Pengunjung pula didapati lebih tertarik dengan Ota berbanding dengan haiwan yang ada.

Ota akhirnya dijadikan tarikan utama zoo tersebut, dibenarkan berkeliaran namun tempat tidurnya diletakkan bersama dengan sangkar monyet. Selain itu, Ota juga diberikan busur dan panah bagi membuat pertunjukan semasa kehadiran pengunjung memuncak.

Kehadiran Ota di dalam kawasan zoo dengan monyet mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Ramai menganggap pameran Ota hidup bersama monyet adalah satu penyelidikan evolusi yang berjaya. Mereka yang membantah pula diketuai oleh seorang paderi bernama James H.Gordon. James akhirnya berjaya mendesak Ota dibebaskan lalu Ota hidup di bawah jagaan James, di sebuah rumah anak yatim kelolaannya.

Hidup Ota mula berubah menjadi baik. Tinggal bersama James yang memang mementingkan kebajikannya, Ota mula belajar di sekolah untuk individu kulit hitam. Selain itu Ota juga diberikan pekerjaan di sebuah kilang tembakau bagi menyara hidupnya.

Hampir 8 tahun menetap di Amerika Syarikat, pada 1914 Ota memilih untuk kembali ke kampungnya di Congo, kerana dia sedar hidup di Amerika tidak serasi dengan dirinya.

Tamatnya penderitaan Ota Benga

tugu peringatan kekejaman manusia terhadap ota benga

Ota mendapat berita Raja Leopold II telah mati dengan kerajaan Belgium sedang dalam proses memperbetulkan semula semua kekacauan yang telah dilakukan semasa pemerintahan Raja Leopold. Pada Ota, ini adalah satu berita baik yang membuatkan dirinya tidak sabar untuk pulang ke Congo.

Namun, Perang Dunia pertama tercetus pada 1914 sebelum Ota sempat belayar pulang. Ekoran perang yang berlaku, kapal-kapal penumpang ke Congo tidak lagi belayar memaksa Ota terus menetap di Amerika Syarikat.

Hari demi hari, keadaannya menjadi semakin teruk ekoran jiwanya yang tidak lagi tenteram. Dua tahun kemudian, pada 20 Mac 1916, Ota menyalakan unggun api sebelum menembak dadanya dengan menggunakan sepucuk pistol yang dicuri.

Ota meninggal dunia ketika berusia 32 tahun. Kisah hidup Ota meninggalkan kita dengan pelbagai pengajaran berkait dengan keburukan perhambaan, ketamakan dan kegilaan manusia dalam membuktikan pendapat mereka.

Begitulah tamatnya kisah Ota Benga, antara manusia malang yang dijadikan bahan eksperimen pengkaji barat yang songsang, sehingga terlalu ramai di antara mereka tidak lagi mampu membezakan di antara manusia dengan binatang.



✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2oSKvgA

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.