Komunikasi Kian Berubah
Apabila memandang telefon pintar sekarang, anda tidak lagi berdepan teks untuk berkomunikasi tetapi kini semuanya dilakukan dengan imej. Contohnya, membalas mesej, anda lakukannya dengan meletakkan emoji atau emotikon. Itulah masa depan telefon pintar.
Pendapat penulis diperkuatkan lagi ketika pelancaran Samsung Galaxy S9 dan S9+ di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2018 di Barcelona, Sepanyol apabila Presiden Bahagian IT dan Komunikasi Samsung DJ Koh sendiri dalam ucap tama pelancaran menggambarkan perkara sama.
“Imej akan menggantikan perkataan. Sekarang, pengguna memanfaatkan telefon pintar mereka dengan merakam, berkongsi imej dan video yang menjadi ekspresi diri kita,” katanya.
Menurut Koh, lebih 1.2 trilion foto dirakam, 10 bilion video dikongsi dan lima bilion emoji dihantar pada 2017. “Jadi, pembaharuan kamera menjadi penting bagi memberikan visual yang tepat membabitkan telefon pintar,” katanya.
Ia antara perubahan ketara pada model baru Samsung Galaxy S9 dan S9+ baru, lebih mantap dari aspek kamera. Trend mendapatkan fon dengan warna yang unik juga menjadi satu lagi perubahan pada telefon pintar dan Samsung menjangkakan warna ungu bakal menjadi trend pada tahun ini.
Warna jenis Pantone itu menjadi pilihan pada model baru Samsung Galaxy S9 dan S9+ yang pertama kali diperkenalkan kepada pengguna. Perubahan terbaru pada kamera dengan sistem yang membezakan terang dan gelap atau waktu siang serta malam menyaksikan apertur f2.4 ketika cerah dan mampu menjangkau apertur f1.5 ketika gelap.
Jadi, ia menghasilkan gambar yang jelas meskipun anda mungkin berada dalam gua ketika itu dengan penambahan 28 peratus lebih cahaya berbanding model lama S8. Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ mempunyai ‘multi frame noise reduction’ yang membuang gambar pecah dengan merakam lebih 12 foto pada satu masa dan menyatukannya bagi mendapatkan imej lebih baik.
Terbaru, Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang dengan kejutan rakaman ‘Super Slow Mo’ format 960fps yang sebelum ini fungsi sama hanya datang pada 240fps saja. Hasilnya, anda boleh menyaksikan gambar gerak perlahan yang terperinci dan jelas.
Super Slow Mo ini juga mempunyai pengesan pergerakan automatik, biasanya terdapat dalam kamera biasa yang bermakna ia mampu merakam apa saja dengan pantas meskipun anda mungkin tidak bersedia ketika situasi berada depan mata. Super Slow Mo juga boleh dijadikan fail GIF dan lebih menarik, ia mampu diterjemahkan ke ‘wallpaper’ telefon Galaxy S9 dan Galaxy S9+ anda.
Satu penambahan ciri ketara menyaksikan Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang bersama emoji AR yang lebih realistik malah anda boleh mencipta emoji dengan wajah sendiri dan menukar konsep emoji seperti baju, kaca mata dan banyak lagi. Selain itu, ekspresi wajah pada emoji juga dicipta seakan-akan animasi 3D dan boleh berkongsi emoji terbabit kepada rakan.
Mendengar maklum balas pengguna, Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang dengan sistem audio hasil kerjasama dengan AKG dan Dolby Atmos yang membawa audio lebih kuat tanpa pembesar suara tambahan. Sudah pasti dengan trend menonton strim video ‘online’ sekarang, ia membantu memperdengarkan audio dengan lebih jelas.
Diperkenalkan tahun lalu, Bixby pada Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kali ini mempunyai terjemahan secara langsung hampir tepat dan sempurna. Di samping itu, ia juga mempunyai AR yang mempunyai fungsi baru misalnya, restoran terdekat dengan menghalakan kamera anda ke depan. Ciri ‘Food’ membolehkannya melihat jumlah kalori dalam makanan yang anda sedang makan.
Meneruskan fungsi pejabat, Samsung memperhebatkan Galaxy S9 dan Galaxy S9+ dengan DEX baru yang bukan lagi berbentuk bulat dan memperlihatkan fon yang menegak apabila dipasang. DEX kini dibaringkan dengan rekaan empat segi dan Galaxy S9 dan Galaxy S9+ dipasangkan dengan cara meletakkannya melintang.
Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ juga kekal dengan ciri kalis air dan debu IP68 tapi dengan pemprosesan baru dan membuat keputusan untuk jek audio 3.5mm terus relevan dalam peranti ini. Galaxy S9 dan Galaxy S9+ juga mempunyai memori tambahan dengan microSD sehingga 400GB.
Cas telefon tanpa wayar juga juga lebih pantas mengelakkan masa terlalu lama untuk menggunakannya kembali. Kali ini Galaxy S9 dan Galaxy S9+ mempunyai akses pada pengesan wajah dengan Samsung Knox 3.4.2 baru. Berkongsi pemprosesan sama, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ datang dengan cip 10nm 64 bit jenis octa core.
Galaxy S9 mempunyai saiz skrin 5.8 inci QuadHD+ curved super AMOLED 18.5:9 manakala Galaxy S9+ pula 6.2 inci dengan format sama. Kedua-duanya juga mempunyai rangkaian Internet lebih pantas dengan memberi laluan lebih banyak gelombang isyarat ke telefon.
Galaxy S9 mempunyai kamera 12MP AF di belakang dengan 8MP f1.7 di depan tapi Galaxy S9+ lebih hebat dengan dwikamera (lengkap OIS) dengan satu lensa sudut lebar 12MP manakala satu lagi telefoto 12MP f2.4.
Sementara itu, kamera depan Galaxy S9+ lengkap 8MP f1.7. Galaxy S9 dan Galaxy S9+ masing-masing mempunyai bateri berkapasiti 3000mAh dan 3500mAh. Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+ kali ini datang dengan Android Oreo 8.0 selain USB-C dan NFC.
Samsung Pay juga dikekalkan pada kedua-dua fon ini. Samsung bakal memasarkan Galaxy S9 dan S9+ bermula 16 Mac ini pada harga bermula RM3,299 dengan tiga warna ditawarkan iaitu hitam, biru dan ungu.
Manakala S9+ pula dijual pada harga bermula RM3,799 untuk 64GB, RM3,999 (128GB) dan RM4,399 (256GB). Warna sama juga ditawarkan untuk S9+ dan anda boleh menempahnya sekarang.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2DbiEfN
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment