Hajat curi kereta tidak kesampaian
SIBU: Niat seorang lelaki warga Indonesia melarikan sebuah kereta Perodua Kembara berjaya dipatah pemilik dan ayahnya selepas orang awam bekerjasama membantu menahan suspek.
Dalam kejadian pada jam 8.30 malam, pengadu, 29, ternampak seorang lelaki berada dalam keretanya yang terletak di belakang kedai ketika sedang berada di bahagian dapur kafe milik ayahnya.
Hairan melihat lampu depan keretanya tiba-tiba menyala, dia terus bertindak mendekati kereta itu dan terkejut melihat seorang lelaki berbaju kuning bergegas keluar dan melarikan diri.
“Saya terus meminta pertolongan ayah yang berada di dalam kedai. Kami terus mengejar suspek sehingga dia berjaya ditangkap orang awam di situ,” ujar pengadu.
Aksi kejar-mengejar menarik perhatian orang awam yang kemudian membantu menangkap suspek yang cuba bersembunyi di celah deretan kedai di situ.
Suspek kemudian terus diserahkan kepada pihak polis kemudian ke Balai Polis Sibu Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Difahamkan suspek berumur 28 tahun berketurunan Dayak berasal dari Bandau, Indonesia.
Sebuah kereta dipercayai digunakan suspek juga dirampas.
Pada 6 Februari lalu, seorang lelaki warga Indonesia, 21, juga tumpas di tangan orang awam setelah cuba melarikan sebuah Toyota Double-Cab di pekan Kanowit.
Dalam insiden itu, suspek melanggar beberapa kereta ketika melalui laluan sempit sehingga ia tersekat dan tidak dapat bergerak lagi.
Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua suspek tersebut mungkin daripada kumpulan sindiket yang sama menjalankan kegiatan mencuri kereta.
Bagaimanapun, lelaki warga Indonesia berumur 29 tahun tersebut kini masih dalam tahanan dan siasatan pihak polis.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1WtXUHr
Post a Comment