Mawan digugurkan, dipindah ke kabinet Pusat
KUCHING: Nama Tan Sri William Mawan kini disebut di mana-mana di Sarawak.
Pecutan terakhirnya dalam politik begitu menarik apabila semalam, memimpin dua lagi rakan sekutunya dalam Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang memenangi Pilihan Raya Negeri yang lalu — Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang — menyertai Parti Bumiputera Bersatu (PBB).
Turut serta ialah lebih 20 ribu ahli Teras di seluruh negeri, yang kemudiannya seperti yang dimaklumkan pemangku Presiden, Datuk Peter Nansian Ngusie tidak akan memperbaharui pendaftarannya.
Ketika sepuluh menteri penuh mengangkat sumpah jawatan hari ini, nama Mawan yang juga mantan menteri kanan dan Menteri Pembangunan Sosial tercicir.
Nama Mawan sebenarnya memang tidak wujud sama sekali dalam radar politik untuk dijadikan anggota kabinet.
Menurut sumber dalaman, Mawan akan diberikan kedudukan dalam Kabinet Pusat yang kini dalam proses penstrukturan berikutan pengunduran Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dari pusat, selain kematian Timbalannya, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter Eurocopter AS-350 di kawasan Triso, Sebuyau pada 5 Mei lalu.
Meski berusaha dipancung oleh Datuk Seri Tiong King Sing, namun tindakan Mawan menyertai PBB dilihat sebagai kejutan besar yang memberikan “wild card” dalam kerjaya politiknya.
Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok jelas bijak dalam percaturan ini kerana selain menambahkan kekuatan PBB, beliau juga meletakkan diri dalam zon selamat daripada sebarang usikan.
Penyertaan kumpulan Teras semalam dan tiga lagi calon langsung yang memang asalnya PBB — meletakkan parti itu pada kedudukan yang cukup kuat.
Menguasai 46 daripada 72 kerusi BN dan 82 kerusi DUN, PBB memiliki kuasa yang besar dalam mentadbir negeri.
Ia tindakan di luar kebiasaan, meski pahit oleh parti komponen tetapi bijak bagi rakyat. Kerana dalam keadaan sekarang, hanya PBB dalam kalangan parti komponen yang paling sedikit diuliti kontroversi dan dibebani masalah.
Dan paling penting, ia adalah strategi politik pintar dan licik Adenan memandangkan sebelum ini 11 calon langsung itu bebas memilih parti komponen yang akan mereka sertai selepas menang.
Adenan kini telah menyeberangi jambatan selepas sampai di jambatan yang ditujui. – Sarawakvoice.com
Post a Comment