Wakil rakyat desak polis tangkap perompak Lamborghini
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mencabar polis untuk menangkap mereka yang terbabit dalam satu rompakan kereta mewah Lamborghini Gallardo, dalam tempoh 48 jam.
Jika tidak, katanya beliau akan membuat laporan ke Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan pada Isnin.
Lip Eng berkata polis tidak sepatutnya membebaskan dua suspek itu yang ditahan pada 28 Julai kerana mencuri kereta. Kedua-dua suspek dipercayai bergelar “Datuk”.
Katanya sesiapa yang ditangkap kerana mencuri kenderaan, walaupun sebuah motosikal, boleh berdepan hukuman penjara enam bulan.
Ketua Polis Serdang Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata kereta berkenaan ditemui berhampiran plaza tol Rawang pada jam 8 malam, disusuli dengan penahanan seorang lelaki 52 tahun di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling.
Megat berkata dua lelaki ditahan tetapi kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih diteruskan.
Lamborghini itu dicuri selepas kereta itu dilanggar sebuah kereta lain. Tiga lelaki, dengan salah seorangnya bersenjatakan parang, melarikan kereta mewah itu selepas pemandunya, seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun, turun untuk berbincang cara menyelesaikan kemalangan berkenaan.
Lip Eng, yang juga peguam pemilik kereta itu berkata anak guamnya memaklumkan mengenai alasan pegawai penyiasat kerana tidak memulangkan kereta itu meskipun sudah mengemukakan bukti pemilikan.
“Kereta itu milik seorang wanita. Beliau sudah menunjukkan semua dokumen Jabatan Pengangkutan Jalan dan rekod pemilikan kereta. Sekarang pegawai penyiasat mahu pemilik menunjukkan bukti kewangannya kerana kereta itu tidak mempunyai pinjaman bank,” katanya.
Lip Eng berkata kereta itu yang bernilai kira-kira RM800,000, didermakan oleh seorang ahli perniagaan.
“Jika polis mahu menyiasat kedudukan kewangan wanita itu, mereka patut minta Bank Negara siasat, bukan arah dia secara lisan untuk menyerahkan penyata kewangan,” katanya.
Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today http://ift.tt/2b2NifX
Post a Comment