Guling PM: Pemuda UMNO batal buat laporan polis elak dilihat bodoh
KUALA LUMPUR: Guruh bukan main bunyi dentumannya, tetapi hujan tak jadi turun.
Itulah gambaran yang boleh digunakan untuk merujuk perbuatan seorang pemimpin pemuda UMNO hari ini.
Kata pemimpin pemuda itu, masih belum ada asas dalam mengaitkan konspirasi dua individu yang dikatakan sebagai ‘penaja’ gerakan bagi mengulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah menjelaskan, setelah menyemak dokumen yang diperoleh dan berbincang dengan sumber-sumber berkaitan, didapati dokumen berkenaan adalah palsu.
Justeru, beliau membatalkan hasrat membuat laporan polis bagi mengelak pertubuhan itu dilihat sebagai bodoh.
Beliau yang sepatutnya membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pagi tadi terhadap anak seorang jutawan dan proksi sebuah gergasi korporat yang didakwa terlibat dalam gerakan tersebut; sebaliknya hanya mengadakan sidang media memaklumkan perkembangan terkini isu tersebut.
Katanya, apabila terdapat maklumat yang diberi tidak sahih, maka sebagai ahli politik, maka ia tidak mahu mengambil tindakan dengan membuat laporan palsu.
“Pandangan dan perbincangan dengan pelbagai pihak mengenai dokumen yang diberikan tempoh hari didapati ianya tidak sahih dan saya telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan laporan polis terhadap dua individu yang diperkatakan itu,” katanya dengan menambah bahawa mereka mahu menunjukkan contoh yang baik dengan membatalkan hasrat membuat laporan polis.
“Kalau betul kita laporkan, kalau tak betul kita tak lapor,” tegasnya.
“Saya juga ingin menegaskan mana-mana pihak yang cuba mengganggu urus tadbir dan kepimpinan negara melalui cara yang tidak demokrasi, baik melalui demonstrasi jalanan mahupun politik kebencian, secara tegas meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menggunakan undang-undang negara.
“UMNO berpegang pada konsep demokrasi berperlembagaan,” katanya.
“Hari ini saya ingin menegaskan secara terbuka dan rasmi, saya berdiri teguh bersama parti UMNO dan pucuk pimpinan UMNO yang diketuai oleh Najib Tun Razak tanpa berbelah bahagi,” ujarnya kepada pemberita di luar IPD Dang Wangi, pagi tadi.
Dalam masa yang sama, Armand turut meminta pihak yang termasuk media tempatan dan media asing yang mempunyai bukti mahupun dokumen berkaitan gerakan menyingkirkan kerajaan ataupun Perdana Menteri.
“Ada bukti, boleh serahkan kepada saya. Kita akan semak dan akan ambil tindakan sewajarnya jika dokumen atau bukti tersebut mempunyai asas-asas yang kukuh,” tambahnya.
Namun, bagi pemerhati, mereka mempertikaikan mengapa beliau tidak mengambil tindakan untuk menyemak kesahihan dokumen tersebut terlebih dahulu sebelum mengumumkan hasrat untuk membuat laporan polis kepada dunia.
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment