Lagi Pemberhentian Pekerja Dalam Sektor Pembuatan Pulau Pinang
Kira-kira 200 pekerja di kilang menghasilkan sel solar silikon kristal yang berpangkalan di Pulau Pinang bakal kehilangan mata pencarian mereka dengan gelombang terbaru pemberhentian pekerja melanda sektor pembuatan.
Menurut Business Times, firma TS Solartech Sdn Bhd – sebuah anak syarikat Tek Seng Holdings Bhd – mengeluarkan memo memaklumkan sebahagian pekerjanya akan diberhentikan seawal esok.
Solartech Energy di Taiwan memegang peratus kepentingan 42 peratus dalam syarikat itu.
“Dukacita dimaklumkan berikutan lebihan produktiviti, akan ada program pemberhentian pekerja,” petik memo yang dihantar kepada pekerja itu.
“Keputusan ini tidak mencerminkan prestasi anda.”
Sebelum ini, syarikat Rubicon Technology Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat memaklumkan ia akan menutup kilang Rubicon Sapphire Technology di Pulau Pinang, yang memberi kesan kepada 180 orang pekerja.
Pembuat cakera keras US Seagate Technology Plc, yang menggaji 3,000 kakitangan Malaysia, dan syarikat penyimpanan data komputer Western Digital Corp juga memindahkan sebahagian besar operasinya ke Thailand.
Western Digital dijangka memberhentikan 400 rakyat Malaysia dan 800 pekerja asing dari kilangnya di Pulau Pinang, lapor Business Times.
Intel Technology, yang mempunyai kilang di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah, sedang memberhentikan 12,000 pekerjanya di seluruh dunia. Kira-kira 1,000 dari mereka adalah dari operasi di Malaysia.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2cRuNKx
Post a Comment